Hayati titah sultan untuk kecemerlangan Melayu Islam

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR:
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar umat Islam menekankan perpaduan ummah dan, memperbaharui azam dan tekad sempena tahun 1443H ini.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Selangor itu menyarankan rakyat agar mencontohi sifat-sifat terpuji Rasulullah SAW dan membuang sifat tercela dan negatif demi perpaduan sesama ummah.

- Advertisement -

“Kecemerlangan generasi akan datang adalah sesuatu kebijaksanaan titah Tuanku yang memikirkan soal generasi akan datang.

“Sudah tentu ia menjadi tanggungjawab kepada semua pemimpin di peringkat manapun sehinggakan ketua keluarga harus mengambil tindakan pelaksanaan titah Tuanku agar kecemerlangan umat Melayu Islam dapat diperkukuhkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengatakan bahawa teguran Sultan Selangor berkaitan isu fitnah dan penyebaran berita palsu adalah sejajar dengan tuntutan Islam.

 Ini, ujarbya sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran melalui surah Al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Sultan Selangor bertitah agar rakyat dapat menjauhkan diri dari perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik.

“Beta berharap sambutan Ma’al Hijrah kali ini dihayati dan dirai dengan penuh kesedaran dan kefahaman akan pentingnya penghayatan nilai-nilai murni di dalam Islam diterjemah kepada setiap aspek kehidupan,” titah baginda pada Isnin. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -