Maritim lupus sejumlah barang kes

- Advertisement -

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis melakukan pelupusan sejumlah barang kes yang telah selesai.

- Advertisement -

Pelupusan itu dilakukan di Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Kuala Perlis semalam juga setelah mendapat perintah mahkamah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, pelupusan dilakukan secara hancur musnah dibuat ke atas lima bot nelayan lucut hak.

Selain itu lima tan daun ketum, 148 set bubu naga, 114 set bubu udang lipan, tiga bidang pukat pari dan dua papan tunda dengan anggaran nilai keseluruhan lebih kurang RM86,160.

“Kesemua barang kes yang dilupuskan melibatkan kes-kes tangkapan dan rampasan membabitkan nelayan asing sepanjang tahun 2019 dan 2020 di perairan Perlis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Racun 1952.

“Bot dilupuskan secara potong hancur oleh jengkaut sebagai mesej ketegasan agensi ini dalam menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang di perairan negara.

“Kira-kira lima tan ketum bernilai RM46,880 turut dilupus membabitkan kes tahun 2020 yang selesai dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya lagi pelupusan kesemua barang kes tersebut adalah usaha mengatasi isu lambakan barang kes di stor simpanan Zon Maritim Kuala Perlis.

Kata beliau Maritim Malaysia memastikan tahap pengurusan sesuatu kes berprofil tinggi dikendalikan mengikut prosedur dan piawaian standard yang ditetapkan.

“Kita juga akan memperhebatkan lagi rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim,” katanya.

Oleh itu beliau meminta kerjasama orang ramai melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Perlis dengan menghubungi Maritim di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis 04-9851072 atau 04-9851162. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -