Beberapa kekeliruan mengenai ibu hamil dan vaksin COVID-19

- Advertisement -

KAJIAN mendapati ibu hamil mudah dijangkiti oleh COVID 19 tiga kali ganda dari orang biasa. Apabila sudah dijangkiti kemungkinan untuk bergejala teruk kategori 3, 4 dan 5 adalah tinggi mencecah 70 peratus dari mereka. Begitu juga dengan kes kematian meningkat lebih 1.5 kali ganda.

Amat menyedihkan ibu-ibu hamil ini tidak diberi pilihan yang tepat. Malah ditakut-takutkan dengan kesan-kesan sampingan yang terlalu minima berlaku. Inilah pertimbangan antara hidup dan kehidupan, antara hidup dan mati. 

- Advertisement -

Kajian klinikal sedang dijalankan untuk mengetahui secara lebih konklusif keberkesanan dan keselamatan vaksin terhadap ibu hamil. Namun daripada data-data laporan kajian dalam populasi didapati bahawa pemberian vaksin kepada ibu hamil adalah selamat digunakan serta tiada kesan sampingan yang serius. 

Seluruh dunia 20 peratus ibu hamil telah pun diberi vaksin COVID-19. CDC, FDA dan beberapa persatuan profesional perubatan telah menyimpulkan bahawa adalah pilihan tepat diberikan kepada ibu hamil vaksin berdasarkan kepada kes yang mereka temui semakin meningkat. Pemberian vaksin itu tidak perlu dilengahkan sama ada peringkat awal hamil ataupun peringkat akhir hamil.

Terdapat beberapa kekeliruan yang cuba disebarkan oleh pihak tertentu yang mengaitkan vaksin dan ibu hamil:

1. Gugurkan kandungan jika tahu hamil selepas cucuk vaksin?

Tidak benar. Jangan sesekali cuba gugurkan kandungan tersebut tanpa indikasi yang kuat dari pakar Obstetrik dan Ginekologi. Vaksin tidak menyebabkan keguguran. Vaksin juga tidak menyebabkan kecacatan kepada bayi yang sedang membesar, walaupun ia dalam tempoh 3 bulan yang pertama.

2. Tangguhkan pemberian vaksin jika merancang untuk hamil?

Jangan tangguh! Vaksin tidak menyebabkan ketidak-suburan. Sudah banyak kajian yang mengesahkan bahawa vaksin itu tidak mengganggu sistem hormon dan pergerakan Sperma atau Ovum. Vaksin bukan punca mandul. Malah, vaksin adalah kaedah terbaik bagi melindungi kita dari terus dijangkiti oleh COVID-19. Secepat mungkin kita dapatkan vaksin adalah lebih baik dan akhir sekali kita dapat keluar dari pandemik ini. Andai kata anda hamil dalam tempoh tersebut tahniah dan syabas.

3. Jika hamil perlu buat ultrasound secara terperinci, mana tahu ada kecacatan atau tidak?

Tidak perlu terburu-buru untuk buat ultrasound terperinci. Bahkan seperti yang dibincangkan di atas bahawa vaksin itu tidak pun menyebabkan bayi yang sedang membesar itu terbantut dan seumpama. Oleh itu berbincanglah dengan doktor anda untuk melakukan ultrasound dalam tempoh yang sesuai.

4. Tangguhkan dahulu vaksin jika tarikh bersalin sudah tiba?

Tidak perlu tangguh jika kerajaan telah menawarkan vaksin kepada anda, terus rebutlah peluang itu. Apabila tempoh bersalin dan berpantang nanti menyebabkan anda semakin sukar untuk ke pusat pemberian vaksin dan melambatkan lagi vaksinasi terhadap diri anda. Risiko dijangkiti COVID-19 akan tetap wujud.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 13/8/2021

Rujukan:

[1] ACOG: Vaccinating Pregnant and Lactating Patients Against COVID-19
https://www.acog.org/clinical/clinical-guidance/practice-advisory/articles/2020/12/vaccinating-pregnant-and-lactating-patients-against-covid-19.
[2] SMFM: Experts in High-Risk Pregnancy Respond to the FDA’s Decision to Offer the Newly Approved COVID-19 Vaccine to Pregnant and Lactating People.
http://s3.amazonaws.com/cdn.smfm.org/media/2632/FDA_final.pdf 
[3] SMFM Statement: SARS-CoV-2 Vaccination in Pregnancy.
https://s3.amazonaws.com/cdn.smfm.org/media/2591/SMFM_Vaccine_Statement_12-1-20_(final).pdf 
[4] WHO: The Moderna COVID-19 Vaccine: What You Need to Know.
https://www.who.int/news-room/feature-stories/detail/the-moderna-covid-19-mrna-1273-vaccine-what-you-need-to-know
[5] ACOG and SMFM Joint Statement on WHO Recommendations Regarding COVID-19 Vaccines and Pregnant Individuals. 
https://www.acog.org/news/news-releases/2021/01/acog-and-smfm-joint-statement-on-who-recommendations-regarding-covid-19-vaccines-and-pregnant-individuals 
[6] Vaccinating During Pregnancy Has Become Even More Urgent As ICU Beds Fill Up.
https://www.npr.org/sections/health-shots/2021/08/11/1026555595/pregnant-cdc-urges-covid-vaccination-icus-fill-unvaccinated-delta

Sumber Asal: https://www.facebook.com/546572572048737/posts/4297644963608127/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -