Perubahan iklim: Kenapa kita perlu bimbang?

- Advertisement -

MANUSIA sedang berhadapan dengan perubahan iklim yang begitu drastik yang tidak pernah dialami beribu-ribu tahun sebelum ini. Kita akan mengalami cuaca yang melampau pada tahun-tahun mendatang dan manusia akan menanggung padah akibat peningkatan paras laut dan pencairan ais di kutub menurut satu laporan panel Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Laporan oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (Intergovernmental Panel on Climate Change) atau IPCC itu yang dikeluarkan pada 9 Ogos lepas mendedahkan bahawa bumi adalah lebih panas 1.1 darjah celsius dari sejak sebelum era perindustrian. Pada 2030, bumi dijangka menjadi lebih panas sehingga 1.6 darjah celsius. Menurut Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, laporan tersebut adalah satu amaran terakhir untuk manusia. Tetapi kenapa kita perlu bimbang dengan pemanasan ini dan seterusnya perubahan iklim?

- Advertisement -

Pemanasan global akan mengakibatkan lapisan ais cair lalu meningkatkan paras lautan. Peningkatan ini mengancam penempatan di pesisiran pantai dan pulau-pulau. Menurut satu kajian, aras laut dijangka meningkat 1.3 meter sekiranya permukaan bumi lebih panas 3.5 darjah celsius pada tahun 2100 atau hanya kurang dari 70 tahun dari sekarang. Walau bagaimanapun kenaikan paras laut sehingga 2.0 meter boleh berlaku pada tahun 2300. Dalam masa kurang dari 300 tahun dalam tahun 2300 pula, paras laut boleh meningkat sehingga 5 meter yang akan mengubah sempadan pantai seluruh dunia.

Akibat peningkatan ini, kawasan yang diduduki sehingga 650 juta penduduk dunia akan tenggelam pada tahun 2100. Di antara negara yang paling terkesan adalah China (50.5 juta), Vietnam (23.4 juta) dan Indonesia (10.2 juta). Sementara menurut Bank Dunia seluruh Kepulauan Maldives akan tenggelam jika paras laut meningkat 100 sentimeter sahaja.

Pemanasan global ini juga menyebabkan kekerapan berlaku bencana alam yang melampau seperti banjir, kemarau, ribut dan taufan. Baru-baru ini berlaku banjir besar di Jerman dan China. Kebakaran hutan juga sedang berlaku di Turki dan Algeria.

Siapa dan apa yang mengakibatkan pemanasan global? Tindakan manusia yang menyebabkan berlaku pemanasan global. Kita membakar bahan bakar fosil seperti petroleum, arang batu dan gas asli yang mengandungi peratusan karbon yang tinggi telah melepas gas-gas rumah hijau kepada atmosfera. Gas-gas itu adalah Karbon Dioksida (CO2), Karbon Monoksida (CO), Kloroflorokarbon (CFC), Metana (CH4) dan Nitrogen Oksida (NO).

Gas-gas ini terkumpul di atmosfera dan memerangkap haba dari matahari lalu meningkat suhu permukaan bumi dan udara. Tanpa gas-gas ini, haba dari matahari akan terlepas ke angkasa lepas. Haba ini perlu diperangkap kerana tanpa gas-gas suhu bumi akan menjadi terlalu sejuk namun begitu bukan kesemua haba yang perlu diperangkap sehingga berlaku pemanasan.

Hutan memainkan peranan yang penting menyerap Karbon Dioksida yang terhasil dari pembakaran bahan-bahan organik dan melepaskan Oksigen. Justeru itu hutan dan tumbuhan memainkan peranan di dalam mengawal pemanasan bumi pada tahap yang stabil. Pemotongan hutan boleh mengakibatkan pemanasan global yang tidak terkawal.

Apa yang kita perlu lakukan untuk menghalang berlakunya pemanasan global dan perubahan iklim? Tindakan yang paling berkesan adalah pada peringkat Antarabangsa dan inisiatif oleh kerajaan-kerajaan di dunia. Perjanjian Iklim Paris (Paris Agreement atau Accord de Paris) yang ditandatangani dalam tahun 2015 di antara lain bertujuan untuk mengawal pelepasan gas-gas rumah hijau negara-negara di dunia agar pemanasan dapat dihadkan kepada 1.5 darjah celsius. Dua-pertiga dari pelepasan gas-gas rumah hijau dunia adalah dari 7 negara iaitu China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Russia, India, Jepun dan Brazil. Jumlah pelepasan dari Malaysia adalah kecil berbanding dengan pelepasan dunia, kurang dari 1 peratus.

Menteri Alam Sekitar Dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim, pada 13 April lepas telah menyenaraikan langkah-langkah kerajaan untuk menangani perubahan iklim iaitu:

1. Melaksanakan perdagangan Karbon secara teliti agar aktiviti perdagangan Karbon tidak menjejaskan komitmen pengurangan gas rumah hijau.

2. Pembangunan agenda Pelan Pemulihan Hijau seperti ‘green new deal’ agar Malaysia menjadi hab dalam bidang ekonomi, perkhidmatan dan teknologi hijau.

3. Pemupukan gaya hidup hijau di semua lapisan masyarakat melalui konsep ‘planetary health’ ke arah pembangunan mampan yang holistik.

4. Pengukuhan tadbir urus perubahan iklim negara melalui penglibatan semua pihak berkepentingan.

5. Pelaksanaan pelbagai program untuk memacu agenda perubahan iklim dengan menggerakkan sumber tenaga kerja dan peruntukan kewangan.

Walau bagaimanapun kita sebagai individu boleh melakukan perubahan dengan mengurangkan pembakaran bahan api fosil. Kurangkan penggunaan kenderaan yang menggunakan bahan api tersebut. Jika untuk jarak yang dekat elakkan memandu atau menaiki motosikal tetapi cuba berjalan kaki atau menaiki basikal. Gunakan pengangkutan awam sekerap mungkin.

Membudayakan penggunaan semula (Reuse). Cuba fikirkan cara-cara mengguna semula barang-barang atau pakaian. Guna semula perlu lebih digalakkan dari kitar semula (Recycle) kerana proses kitar semula turut melibatkan gas-gas rumah hijau sama ada proses pembuatan atau pengangkutan.

Menanam pokok atau tumbuhan-tumbuhan kerana ia meresap Karbon Dioksida dan mengeluarkan Oksigen. Tidak kira di mana anda tinggal, anda boleh melakukannya sama ada menanam pokok buah-buahan di atas tanah atau pokok bunga di dalam pasu. Anda boleh sama-sama menyumbang kepada usaha untuk mengawal pemanasan global.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 13/8/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000270189106/posts/4573341429351485/

- Advertisement -