Hidup berpasang-pasangan adalah sunnatullah

Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

Oleh DATO’ MAHFODZ MOHAMED
Pengerusi Assabiqun PAS Pusat


BERPASANG-PASANGAN adalah sunnatullah dalam semua jenis ciptaannya bukan sahaja bagi alam manusia bahkan dalam alam haiwan dan alam tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan) Kami dan mentauhidkan Kami.” (Adz-Dzaariyaat : 49)

Dan firmanNya lagi yang bermaksud: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka atau pun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Yassin: 36)

Hal yang demikian itu menjadi cara yang dipilih oleh Allah untuk mendapat zuriat dan keturunan serta penerus kehidupan setelah kedua-dua pihak bersedia untuk menyempurnakan tujuan tersebut.

- Advertisement -

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan…” (Al Hujurat: 13) dan firman-Nya lagi maksudnya: “Wahai sekalian manusia bertakwalah kamu dengan Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) itu pasangannya (isteri Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya -zuriat keturunan- lelaki dan perempuan yang ramai.” (An Nisaa’: 1)

Allah SWT tidak membiarkan manusia melakukan keinginan nafsu mengikut kehendaknya sendiri tetapi meletakan batas-batas dan peraturan yang sesuai bagi menjaga dan memelihara kehormatan dan kemuliaan dirinya.

Islam telah menjadikan hubungan antara lelaki dan perempuan satu hubungan yang mulia berasaskan kepada kerelaan kedua-duanya dengan melafazkan ijab dan kabul serta disaksikan oleh saksi-saksi dan direstui oleh walinya. Dengan cara itu maka akan terpeliharalah zuriat keturunan daripada tercemar dan kedudukan wanita ditempakan di tempat mulia dan dihormati.

Rasulullah SAW mengalakkan umatnya untuk berkahwin dan berpasangan bahkan Nabi SAW menyatakan bahawa sesiapa tidak suka kepada sunahnya ia bukan daripada kalangannya.

Daripada Annas bin Malik r.a katanya; “Tiga kumpulan pemuda datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW bertanyakan tentang hal ibadah Rasulullah SAW. Apabila mereka diberitahu mereka mengecil-kecilkannya dan berkata; “Dimanalah kami jika dibandingkan dengan ibadahnya; Baginda telah diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang. Salah seorang darinya berkata: Adapun aku sesungguhnya aku solat sepanjang malam.
Yang seorang berkata: Sesungguhnya aku berpuasa dan tidak berbuka.

Manakala orang yang ketiga berkata; Sesungguhnya aku menjauhkan diri daripada wanita-wanita dan aku tidak berkahwin. Sedang mereka bercakap-cakap itu Nabi SAW pun sampai ke rumahnya sambil berkata; “Kamu yang bercakap begitu dan begini. Adapun aku Demi Allah aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling bertakwa, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat malam dan aku tidur dan aku berkahwin dengan isteri-isteri ku. Maka barang siapa yang benci daripada mengikut sunahku maka dia bukan dari golongan ku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Isteri adalah seorang yang memberi ketenangan kepada suaminya. Isteri adalah teman hidup suami dan yang menjaga rumah tangga. Isteri adalah ibu kepada anak-anaknya, buah hatinya dan teman yang menjaga dan memelihara rahsia rumah tangga. Dengan sebab yang demikian Islam mengambil berat dalam hal memilih isteri yang soleh dan menjadikannya sebaik-baik harta yang berharga.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Dunia adalah berupa kesenangan dan sebaik-baik kesenangan ialah isteri yang soleh.” (Riwayat Muslim)

Dalam satu hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Suatu yang diingini oleh seorang mukmin selepas bertakwa kepada Allah ialah untuk mendapat isteri yang soleh; jika ia disuruh akan mematuhi, jika suami memandang kepadanya akan menyenangkannya dan jika suami ghaib daripadanya dia akan menjaga kehormatannya dan harta bendanya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Diantara kriteria perempuan yang menjadi pilihan seorang suami ialah akhlak dan budi pekerti yang mulia. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Dikahwini wanita itu kerana empat sebab; kerana harta kekayaan, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana pegangan agamanya. Pilihlah orang yang kuat pegangan agamanya nescaya kamu akan selamat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Walaupun pada adat kebiasaannya manusia akan memilih seorang wanita untuk dijadikan isteri berdasarkan kepada empat kriteria tersebut tetapi Nabi Muhammad SAW menyarankan supaya mengutamakan wanita yang mempunyai pegangan yang kuat kepada agamanya.

Sabda Nabi SAW maksudnya daripada kebahagiaan ada tiga dan daripada kecelakaan anak Adam pun ada tiga perkara; Kebahagiaan ialah isteri yang solehat solehah, tempat kediaman yang baik dan kenderaan yang selesa manakala tiga perkara yang membawa keburukan ialah isteri yang tak baik, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan yang tidak selesa.” (Riwayat Imam Ahmad) – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -