Dua dos: Sambut baik kerajaan longgarkan SOP

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Orang ramai di Perlis melahirkan rasa syukur dan menyambut baik keputusan kerajaan memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang sudah melengkapkan vaksinasi.

Ini termasuk untuk mengerjakan solat di masjid dan surau, selain boleh merentas negeri dan daerah bagi pasangan jarak jauh.

- Advertisement -

Seorang guru, Nurliyana Samsudin, 27, berkata, orang ramai terutamanya umat Islam perlu bersyukur dan menggunakan peluang yang telah diumumkan Kerajaan itu dengan sebaik mungkin bagi mengimarahkan semula masjid dan surau yang terpaksa ditutup sebelum ini.

“Ramai yang sebelum ini meluahkan perasaan ketidakpuasan hati di laman media sosial mereka kerana surau,masjid dan tempat ibadah telah ditutup kepada umum.

Nurliyana Samsudin

“Kini, individu yang telah lengkap dua dos vaksin boleh mengambil peluang keemasan untuk mengimarahkan semula surau dan masjid. Jangan kata Kerajaan tidak beri kebenaran pula,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nurliyana yang masih bujang itu bagaimanapun mengingatkan orang ramai agar kekal mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

“Kita masih perlu beringat untuk tetap mematuhi SOP dan meminta perlindungan daripada Allah untuk keselamatan diri kita dan keluarga tersayang pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara Nur Syuhada Yusof, 29, pula menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dia kini berpeluang untuk bertemu dengan suaminya yang bekerja di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, kelonggaran SOP yang diumumkan kerajaan ini amat melegakan khususnya bagi individu yang lengkap dua dos seperti saya.

“Selain kini berasa lega dan lebih selamat apatah lagi dapat kelonggaran merentas negeri untuk bertemu dengan suami di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, selain sudah boleh makan di restoran-restoran atau kedai-kedai makan di Perlis,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sebelum ini telah membuat pengumuman kemudahan untuk kelonggaran SOP bagi individu lengkap vaksinasi bermula 10 Ogos lalu.

Antara kemudahan yang diberi ialah kebenaran untuk menjalani kuarantin di kediaman masing-masing untuk pengembara warga tempatan dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia.

Selain itu, kelonggaran sama diberikan kepada ibu bapa untuk merentas negeri dan daerah untuk bertemu anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

Walau bagaimanapun, mereka perlu memenuhi kriteria melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, dan melepasi 28 hari bagi vaksin jenis Johnson&Johnson dan CanSino. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!