
SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR
TUMPAT: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM900,000 setiap tahun bagi membantu golongan anak-anak yatim.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sumbangan berkenaan diagih melalui setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun).
Menurut beliau ia disumbang sebagai tanda ingatan kerajaan negeri terhadap golongan terbabit bagi mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung penjaga berpendapatan rendah.
“Harapan kerajaan supaya setiap penerima dapat memanfaatkan sumbangan yang diberi walaupun jumlahnya agak kecil.
“Apa yang penting anak-anak yatim tetap mendapat perhatian kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan di Ibadurrahman hari ini.
Hadir sama Ketua Pemuda PAS Tumpat Mohd Hushaimi Hussian dan penghulu mukim.
Menteri Besar juga berkata, hasil sumbangan seperti itu membolehkan kerajaan negeri dilimpahi keberkatan kerana tetap membela nasib anak-anak yatim, warga emas dan armalah.
“Semoga bantuan tersebut menjadi keberkatan sama ada kepada kerajaan atau masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/8/2021











