Nadir Al-Nuri tersentap baca berita ‘pemergian’ Siti Sarah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, beliau tersentap apabila membaca berita daripada Shuib Sepahtu tentang ‘pemergian’ Siti Sarah Raissuddin.

Menurutnya, Allahyarham Siti Sarah pernah menghubungi beliau sebelum Hari Raya Aidiladha lepas untuk mengikuti program korban di Gaza.

“Allah. Tersentap kejap bila baca berita daripada @shuibsepahtu tentang pemergian @sitisarahraissuddin

- Advertisement -

“Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya haji lepas untuk beliau ikuti program korban di Gaza kami,” ujarnya pada satu hantaran di laman Facebook beliau, pagi ini.

Beliau turut memuatkan beberapa screen shot WhatsApp dengan Allahyarham berhubung program korban di Palestin pada tahun ini.

Katanya, pada masa itu beliau terkejut apabila Allahyarham memaklumkan hendak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian sahaja.

“Seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir,” katanya lagi.

Selepas itu, jelasnya Allahyarham kerap berhubung dan bertanya tentang keadaan umat Islam di Palestin.

“Rupanya Allah takdirkan, nyawa beliau diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada’ akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, al-Fatihah,” ujarnya lagi.

Kematian Siti Sarah di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia dimaklumkan suaminya, Shuib Sepahtu melalui Instagram pagi ini.

Menurut Shuib, isterinya menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi.

“5.13 minit pagi 9 Ogos 2021, bidadari syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedakahkan al-Fatihah,” ujarnya.

Memetik laporan Bernama, Siti Sarah, 37, yang hamil tujuh bulan sebelum ini dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan Covid-19.

Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti wabak itu sejak 25 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif virus berkenaan.

Beiau kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan anak keempatnya yang diberikan nama Ayash Affan pada petang hari yang sama.

Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011, memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -