Hijrah mengubah landskap kehidupan dunia, wawasan akhirat

- Advertisement -

PERUTUSAN Maal Hijrah 1443H/2021M Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَ الْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

Mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang,saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam di negeri Pulau Pinang khasnya dan di Malaysia amnya.

- Advertisement -

Firman Allah SWT :

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ أَعۡظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَآئِزُونَ

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan’: Surah at-Taubah: 20)

Hijrah Rasulullah S.A.W dan Para sahabat R.A ke Madinah bukan hanya untuk melepaskan diri daripada tekanan,penindasan dan penghinaan semata-mata tetapi penuh visi dan misi besar iaitu wawasan akhirat.

Bermula dengan mempersaudarakan di antara golongan Muhajirin dan Ansar seterusnya mendirikan Negara Madinah sebagai pengkalan untuk menggagaskan pembentukkan masyarakat madani dan melaksanakan keadilan Islam terhadap umat Islam dan bukan islam.

Ini adalah acuan kenegaraan yang pernah ditunjukkan hasil daripada mendokong gagasan yang besar iaitu wawasan akhirat.

Wawasan akhirat juga berjaya membentuk budaya yang matang dan sejahtera. Pengajaran hijrah juga menyaksikan jiwa besar para pemimpin kaum yang asyik berperang sebelumnya kepada bersatu diatas nama islam yang menatijahkan perbentukan masyarakat madani bersendikan persaudaraan Islam dan insani.

Itu semua terhasil daripada perjuangan,pengorbanan dan jiwa besar mereka.Marilah kita menuruti langkah mereka yang berwawasan akhirat itu untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada pelbagai konflik yang tiada kesudahan dan meruntuhkan.

Berhijrahlah dengan wawasan akhirat nescaya dunia bakal diselamatkan.

Akhir kata, marilah sama-sama kita menghayati dan mengambil panduan sejarah hijrah Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat sebagai panduan hidup kita.

InsyaAllah dengan kehadiran tahun baharu hijrah ini Allah SWT senantiasa memperbaharui jiwa kita dalam kembara menjadi seorang hamba, khalifah, dan pemegang amanah yang kekal berada di atas jalan petunjuk-Nya.

“Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang
30 Zulhijjah 1442 / 9 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -