Peguam adalah pegawai mahkamah

- Advertisement -

BERKALI-kali saya katakan, peguam adalah sebahagian daripada sistem kehakiman. Di Mahkamah, peguam adalah pegawai mahkamah (an officer of court).

Maksudnya apa? Maksudnya, dalam membela atau mempertahankan hak anak guamnya, seorang peguam bertanggungjawab membantu mahkamah mencapai keadilan dengan memberikan bukti dan hujah undang-undang untuk dinilai oleh hakim. Menilai kedua-dua pihak itu dipanggil sistem ‘Adversarial’ yang telah lama terpakai. 

- Advertisement -

Peguam dilarang mengemukakan bukti palsu atau mengelirukan mahkamah (misleading). Sistem kehakiman hanya akan berfungsi sekiranya ada peguam mewakili kedua-dua pihak yang bertelagah. Sebab itu dalam sesetengah kes, jika pesalah tiada peguam, mahkamah akan lantik peguam untuk pesalah (court appointed lawyer). 

Dalam kes jenayah, pendakwaraya mewakili kerajaan, peguam bela mewakili Orang Kena Tuduh (OKT). Dalam kes sivil, peguam cara mewakili plaintif (yang menyaman), dan peguam cara lain mewakili defendan (yang disaman). 

Sistem kehakiman berfungsi berdasarkan bukti dan prinsip undang-undang, dan bukan emosi atau sudut-sudut pandang (di media sosial atau kedai kopi). Maka, berhentilah menyalahkan peguam yang mengambil kes mewakili anak guam yang kita rasakan bersalah dari sudut pandang kita. Takut-takut nanti, bila kita yang terkena, peguam yang dikatakan ‘sebelah kaki di neraka’ itulah yang kita cari untuk membela.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 9/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1460461665/posts/10225396298201991/

- Advertisement -