Kita menulis, ikut prinsip atau ikut suka?

- Advertisement -

PEMBERITA yang berintegriti adalah pemberita yang menulis pemberitaan berasaskan kebenaran dan mestilah bersifat Patuh Syariah. Apa jaminan berita itu baik dan bersifat membina jika tidak bertunjang prinsip kebenaran dan mempunyai sandarannya.

Sandaran paling tepat ialah berdasarkan garis panduan syarak supaya kumpulan sasaran nanti akan menerima natijah yang baik dan nasihat yang berguna. Setiap tulisan atau cakapan seseorang itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat kelak. Maka setiap perbuatan anak Adam di mana sahaja ia berada, ketika mana ia berada dan dalam lapangan mana yang ia ceburi, pasti ada perhitungan dosa dan pahala.

- Advertisement -

Oleh yang demikian, adalah perlu disedari bahawa setiap perbuatan kita terikat dengan hukum taklifi (iaitu wajib, sunnah, haram, makruh dan harus (mubah). Hukum taklifi itu ialah undang-undang. Maka undang-undang tersebut itu ialah apa yang kita sebutkannya agama.

Agama itu ialah terkena kepada undang-undang atau peraturan-peraturan. Agama Islam itu ialah peraturan- peraturan dalam Islam yang turunkan oleh Allah menerusi para Rasulnya.

Maka semua bidang kehidupan kita terikat kepada agama. Sebutlah apa sahaja, ibadah-kah, muamalah-kah, perkahwinan-kah, kesalahan jenayah-kah, politik-kah, akhlak, akidah, hidup dan mati semuanya itu terikat dengan agama ataupun peraturan hidup manusia. Ringkasnya semua perkara tidak terlepas atau bebas daripada agama.

Agama Islam ialah peraturan hidup manusia yang menyeluruh dan mencakupi semua bidang, disebut juga sebagai Manhaj Al-Hayah atau a way of live (satu cara hidup).

Akhirnya, apa yang perlu disedari oleh setiap orang yang suka menulis pemberitaan perlu mempunyai niat yang jelas dan mematuhi garis panduan, SOP yang ditentukan oleh agama, bukannya main hentam dan ikut suka sahaja. Menulislah dengan prinsip agama atau syariah. Tabayyun berita, supaya terlepas daripada perbuatan si fasik yang menderhaka kepada Allah.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 9/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100001777352221/posts/4232586540143883/

- Advertisement -