Pelajar berkeperluan khas terima Bantuan Prihatin

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu telah menyampaikan Bantuan Prihatin Kerajaan Negeri Pahang kepada para 341 pelajar berkeperluan khas yang diserahkan melalui waris mereka.

Secara simbolik, bantuan tersebut telah diberikan secara pandu lalu kepada 20 waris pelajar iaitu masing-masing sepuluh dari Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Chengal Lempong Balok.

- Advertisement -

Bantuan sebanyak RM250 diperuntukkan untuk setiap pelajar dari Kelas Pendidikan Khas kedua-dua sekolah tersebut dibuat pada majlis khas di hadapan Pejabat ADUN Beserah di Balok, di sini kelmarin.

“Jumlah sebenar penerima dalam DUN Beserah adalah seramai 341 pelajar, tapi untuk menjaga SOP (prosedur operasi standard), kita hanya panggil 20 pelajar sahaja, manakala majoriti lainnya menerima bantuan secara terus ke akaun mereka.

“Penerima bantuan ini adalah pelajar yang berkeperluan khas atau erti kata lain OKU (orang kelainan upaya), yang belajar di Kelas Pendidikan Khas yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS mengharapkan agar bantuan ini dapat meringankan sedikit bebanan ibu bapa yang menjaga dan memiliki anak yang istimewa sebegini. 

“Ini adalah ujian dari Allah untuk mereka yang sudah pasti ada kelebihan atau hikmah kepada keluarga tersebut,” ujarnya lagi. 

Program JKM Daerah Kuantan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan ini disaksikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Chengal Lempong, Muhammad Che Ibrahim. 

Seorang penerima, Che Ku Ruslina Che Ku Abdul Rahim iaitu ibu kepada pelajar Mohd Iqbal Hakimi yang merupakan pelajar yang kurang rangsangan intelektual atau slow learner melahirkan rasa syukur dengan sumbangan ini.

Mewakili anaknya dan juga suara para waris pelajar dari Kelas Pendidikan Khas kedua-dua sekolah tersebut, beliau memuji keprihatinan kerajaan negeri dan kesungguhan wakil rakyat atas inisiatif bantuan itu.

Menurut beliau bantuan ini dapat meringankan bebanan mereka terutama ketika negara sedang mengalami masalah ekonomi akibat dari pandemik COVID-19. – HARAKAHDAILY 7/8/2021

- Advertisement -