Hubungan erat dengan Saudi terus diperkukuh

- Advertisement -

SAYA menerima kunjungan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, TYT Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan petang semalam di Putrajaya. Sumbangan 1 juta dos Astrazeneca dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Yang Mulia Raja Salman bin Abdulaziz dan Yang Mulia Putera Mahkota Muhammad bin Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSRelief) amat dihargai. Hanya Allah S.W.T yang selayaknya mengganjari Khadimul Haramain al-Syarifain, Putera Mahkota dan Kerajaan Arab Saudi atas bakti ini.

Alhamdulillah, TYT memaklumkan kepada saya bahawa mulai 1 Ogos lalu, Arab Saudi membuka pintunya kepada para pelancong daripada 49 buah negara termasuk Malaysia. Ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia. 

- Advertisement -

Beliau menjelaskan, walaupun Malaysia mempunyai kes jangkitan positif COVID-19 yang tinggi, tetapi kadar vaksinasi yang amat pantas (antara terpantas di dunia) menyebabkan Arab Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan. Di samping itu, keberkesanan vaksin yang memperlihatkan 98.1 peratus kes hanya di tahap 1 dan 2 serta kadar kesembuhan 81.37 peratus menzahirkan sistem pengurusan kesihatan Malaysia yang teratur.

Buat masa ini, Malaysia masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia. Saya ingin menyeru untuk umat Islam memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah S.W.T agar wabak COVID-19 segera pulih agar kita dapat kembali menziarahi Tanah Suci dalam masa terdekat. Hubungan yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua buah negara.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 5/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044315565310/posts/382461513241031/

- Advertisement -