Kerajaan PN Kedah tidak terjejas – MB

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah dianggap tidak terkesan dengan krisis politik yang berlaku di peringkat Persekutuan sekarang.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehingga sekarang sokongan Adun Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu masih kekal bersama PN.

“Saya pun telah mengadap Tuanku Sultan Kedah secara di atas talian menjelaskan situasi di pusat sekarang tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri.

- Advertisement -

“‘Pandemik’ yang berlaku itu hanya di Putrajaya sahaja, hubungan PN di Kedah masih kekal,” katanya pada sidang media secara di atas talian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.

Katanya juga, mesyuarat Exco yang berlangsung hari ini juga cukup korum dengan kehadiran penuh.

Menteri Besar juga berkata, sidang Dun Kedah yang dijangka diadakan pada 20 hingga 23 September depan akan diteruskan seperti dijadualkan.

“Sidang Dun kali ini akan dirasmikan Tuanku Sultan Kedah secara di atas talian dan berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sekiranya waktu itu keadaan Covid masih kritikal seperti sekarang, kemungkinan SOP lebih ketat akan diadakan,” tambah beliau.

Bagaimanapun beliau menjangkakan ketika itu kes positif Covid-19 menurun dan Kedah kemungkinan masuk ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam perkembangan lain Sanusi mengingatkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy supaya jangan masuk campur urusan Kedah.

Mind your own business, saya tidak kacau Pulau Pinang, Pinang Pinang juga jangan kacau Kedah,” ujarnya.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri terbabit mensyorkan Kedah memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat daripada memberi penumpuan projek-projek mega termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). – HARAKAHDAILY 4/8/2021

- Advertisement -