Rumah dipukul ribut di Panching diberi bantuan segera

- Advertisement -

PAYA BESAR: Sebanyak 24 rumah kediaman penduduk mengalami kerosakan bumbung akibat ditimpa angin dan pokok tumbang dalam kejadian ribut di FELDA Panching Utara, di sini lewat petang kelmarin.

Menurut salah seorang mangsa ribut, Ahmad Tarmizi Abdul Ghani ketika kejadian beliau dalam perjalanan ke tempat kerja dan kembali bergegas pulang apabila menerima panggilan apabila rumahnya dilanda ribut. 

- Advertisement -

“Salah satunya (bumbung) terbang ke atas pokok durian,” cerita beliau sambil menunjukkan atap rumahnya tersangkut di dahan pokok durian yang tingginya hampir 80 meter di belakang rumah beliau.

Sementara itu, dalam kejadian sama, seorang lagi mangsa, Nor Azian Ali meluahkan rasa syukur kerana rumahnya tidak rosak teruk kerana terlindung dengan pokok rambutan.

“Saya nampak puting beliung lalu depan rumah saya. Mujurlah ada pokok rambutan di depan rumah. Kalau pokok ni tak ada, saya rasa rumah saya juga akan musnah seperti rumah orang lain juga,” tambahnya.

Bertindak pantas daripada laporan penduduk setempat, ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya menziarahi mangsa bagi menyampaikan bantuan kecemasan pada malam dan keesokan harinya.

“Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dan mangsa yang cedera dalam kejadian ini. Semoga semua penduduk yang terlibat dapat menghadapi ujian ini dengan tabah dan penuh kesabaran,” katanya.

Turut serta membantu mangsa ribut ialah 15 anggota Jabatan Amal Paya Besar dan Jabatan Amal Negeri Pahang yang melaksanakan kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok yang tumbang.

Dermawan yang ingin menyumbang kepada mangsa-mangsa ribut tersebut boleh menyalurkan ke akaun Bank Muamalat 06010004266719 atas nama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching dan hubungi 016-2640 448 untuk sebarang pertanyaan.

Maklumat juga boleh diperolehi dengan melayari Facebook Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching untuk mengikuti perkembangan lanjut aktiviti-aktiviti Ustaz Tarmizi. – HARAKAHDAILY 29/6/2021

- Advertisement -