Mangsa ribut di Beserah segera diberikan bantuan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu bersama Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Abd Rahim Muda telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Sungai Ular dan Cherating, di sini kelmarin.

Sebanyak 24 kediaman mengalami kerosakan struktur dari kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 1 pagi itu dengan masing-masing tiga di Sungai Ular, 20 rumah di Cherating dan satu di Chendor.

- Advertisement -

“Kerosakan tidaklah begitu serius kecuali ada dua, tiga buah rumah sahaja yang lain-lainnya adalah kerosakan minima yang melibatkan kerosakan pada atap rumah.

“Kami menyerahkan bantuan awal bagi bencana ini, berupa barangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta sedikit sumbangan tunai sebagai permulaan dari kerajaan negeri. 

“Tindakan susulan seterusnya, akan dibuat oleh pihak JKM, setelah mendapat laporan serta penilaian kerosakan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa berkenaan. 

“Permohonan untuk mendapatkan bantuan ini adalah melalui Tabung Bencana Daerah Kuantan dalam tempoh tujuh hari atau sepuluh hari dari pada waktu bekerja,” kata Andansura. 

Beliau yang juga sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang mengharapkan agar mereka dapat bertenang dan bersabar kerana dalam suasana sekarang ini mungkin berlaku sedikit kelewatan bantuan. 

Kerana jelasnya, beberapa pihak berkaitan seperti JKM dan lain-lain turut terlibat dalam mengurus hal ehwal berkaitan kuarantin dan kawalan pandemik COVID-19 ketika ini dengan agensi lain.

Turut hadir adalah Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah, Penghulu Mukim, serta Penghulu Mukim Sungai Karang, Ahmad Faizul Rahimi serta wakil agensi dan pemimpin setempat. 

Seorang mangsa di Sungai Ular, Ahmad Afzal Sabari Zumadi menceritakan, semasa kejadian ibu beliau ketika itu sedang tidur bersama anaknya. 

“Bunyi angin yang kuat telah mengejutkan ibu saya dan sekali gus atap dan kayu telah tercabut di bumbung rumah. Ibu cepat-cepat bawa lari anak saya ke ruang tamu. Alhamdulillah kedua-duanya selamat,” kata. 

Beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan merasa bersyukur dengan sumbangan yang diterima kerana dapat meringankan bebanan keluarganya dan memuji sikap prihatin kerajaan. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -