Adun bantu peniaga kecil terjejas di Pengkalan Kubor

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO FATAH FATIHI

TUMPAT:
Pusat Khidmat Dun (PKD) Pengkalan Kubor membelanjakan sejumlah RM67,500 bagi membantu peniaga-peniaga kecil yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Adunnya, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sebahagian sumbangan berkenaan daripada peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM50,000.

Manakala RM17,000 lagi peruntukan Dun sendiri bagi menampung keperluan penerima seramai 450 peniaga kecil terbabit.

- Advertisement -

“Sumbangan itu untuk semua peniaga kecil yang terjejas termasuk di kawasan Kedai Bebas Cukai (KBC) Pengkalan Kubor,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, peniaga di Dun berkenaan turut mendapat pengecualian bayaran sewa premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) selama dua bulan bermula Julai.

“Kita memahami peniaga kecil terjejas dengan penularan Covid-19. Kerajaan negeri terpaksa menanggung kos sebanyak RM3.3 juta untuk dibayar kepada seluruh PBT di negeri,” ujarnya.

Manakala pada program berasingan Wan Roslan menyampaikan sumbangan daging korban kepada penduduk tempatan yang disumbang Kelab Sahabat Assomadi.

Daging itu diagih kepada 50 penduduk di Kampung Kubang Sawa dan Kampung Geting.

Timbalan Pengerusi Kelab Sahabat Assomadi, Mohd Kamil Deraman, 43 berkata, sumbangan berkenaan ditaja penaung persatuan itu Ustaz Asri Abdul Karim.

Katanya, setiap tahun Ustaz Asri mencari dana untuk menyumbang dua ekor lembu untuk anak-anak muda. – HARAKAHDAILY 29/7/2021

- Advertisement -