Varian Delta: Rakyat Terengganu perlu lebih hati-hati

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu perlu lebih berhati-hati dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat berikutan dua kes positif varian Delta (B.1.617.2) Covid-19 telah dilaporkan setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata kedua-dua kes itu dilaporkan berlaku di daerah Kuala Terengganu.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan mengenai punca jangkitan itu berlaku di negeri ini.

- Advertisement -

“Setakat ini penjujukan genom atau ujian terhadap sampel lain masih diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan Terengganu bebas daripada varian ini.

“Penjujukan genom terhadap sampel lain yang diambil daripada pesakit lain sedang dilakukan di Kuala Lumpur dan kita harap ia bukanlah varian Delta (B.1.617.2) Covid-19,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Sehubungan itu, Dr Nor Azimi menyeru orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin Covid-19 agar lebih berdisiplin dan terus mematuhi SOP ditetapkan.

“Tahap kebolehjangkitan varian ini dalam masa yang begitu singkat malah jangkitannya lebih mudah iaitu melalui udara berbanding jangkitan melalui titisan air liur. Sebelum ini jarak satu meter sudah cukup untuk mengelak jangkitan Covid-19, namun bagi varian ini ia boleh berjangkit melalui udara,” katanya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melaporkan sebanyak 490 kes positif baharu dikesan di Terengganu dengan 2,357 kes sedang dirawat.

Sebanyak 107 kematian turut direkodkan di Terengganu setakat ini. – BERNAMA

- Advertisement -