Wakil rakyat sedia lori hantar bekalan air

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Kerian menyediakan dua lori bagi menghantar bekalan air kepada penduduk yang menghadapi masalah tekanan rendah di Dun Salor.

Adun Salor, Saiful Adli Abu Bakar berkata, sebuah lagi lori disediakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi tujuan itu.

Kata beliau masalah itu berlaku sejak lebih setahun lalu itu berpunca kekurangan bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Pintu Geng.

- Advertisement -

Katanya, perkhidmatan yang disediakan selama 24 jam itu merupakan antara usaha dilakukan sehingga Medan Telaga di Kampung Tok Jaafar siap dibina.

“Pihak AKSB sediakan sembilan tangki statik dan tiga lori digunakan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air. Kita sudah laksanakan pelbagai usaha bagi membantu rakyat.

“Bekalan air dihantar sampai ke rumah penduduk di Kampung Pendek yang tiada bekalan air, jadi kita buat usaha tersebut sejak lebih setahun lalu,” katanya di sini.

Saiful Adli juga berkata, kerajaan negeri kini dalam proses membina LRA di Kampung Tok Jaafar yang melibatkan kos kira-kira RM2.5 juta.

Menurutnya juga sebagai penyelesaian jangka pendek, pemasangan paip air sejauh 2.5 kilometer dari Medan Telaga Kampung Tok Jaafar Wakaf ke LRA Pintu Geng berkapasiti 25 juta liter sehari.

Oleh itu beliau menasihat penduduk di kawasan terbabit bersabar dan menghubungi AKSB dan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Salor bagi mendapat bekalan air.

“Apa yang kita boleh buat ialah bina telaga tiub di Tok Jaafar sebanyak tiga buah, kita harap projek yang bernilai RM2.5 juta diharap dapat mengatasi gangguan bekalan air di kawasan berkenaan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -