Peningkatan kes Covid-19 ada kaitan Aidiladha

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta sebagai persediaan menghadapi bencana banjir, ribut dan ancaman Covid-19 di Kelantan.

Pengerusi Jawatakuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Muntaz Md Nawi berkata, peruntukan kerajaan negeri dan persekutuan itu dalam tempoh dua tahun bermula tahun lepas.

Katanya Kelantan juga pernah mengalami banjir besar pada 2014 terutamanya di kawasan hulu.

- Advertisement -

“Begitu juga ancaman ribut yang melanda beberapa jajahan terutama di Pasir Puteh minggu lepas membabitkan sebanyak 900 rumah rosak termasuk bumbung diterbangkan angin.

“Jumlah peruntukan dua tahun itu akan ditambah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika tidak mencukupi tetapi sehingga ini masih berbaki untuk menampung ketiga-tiga bencana berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan Bakul Makanan kepada penduduk di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pejabat Adun Selising di sini, hari ini.

Pada program berkenaan beliau menyerah sebanyak 1,800 bakul makanan untuk 1,800 keluarga membabitkan 14 kampung yang dikenakan PKPD bermula semalam sehingga 9 Ogos ini.

Mumtaz yang juga Adun Demit berkata, peningkatan kes harian Covid-19 di Kelantan sejak akhir-akhir ini berikutan sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Bagaimanapun kata beliau jumlah kes harian Covid-19 diramal akan menurun semula selepas dua minggu perayaan.

Beliau juga berharap penduduk yang berada di bawah PKPD tidak melarikan diri untuk menjalani saringan Covid-19 kerana perbuatan itu akan memburukkan lagi jangkitan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan (JKM) Said Sidup berkata, seramai 100 anggota termasuk pasukan sukarelawan akan membantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengagih bantuan berkenaan kepada penduduk terbabit.

Penduduk terbabit melibatkan Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Berangan dan Kampung Alor Hijau bagi meringankan beban mereka selepas tidak dapat keluar bekerja. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -