Testimoni dan sokongan 2P bukan jaminan perubatan

- Advertisement -

TESTIMONI tidak dikira sebagai hujah ilmiah walaupun si pengucap itu bertitle PhD. Ianya sama taraf dengan orang ramai yang mendakwa mereka juga sembuh COVID-19 setelah tiap-tiap pagi makan nasi ganja. Nasi ganja itu tiada apa, tidak ada apa makna pun kecuali ia boleh mengenyangkan dan menyegarkan badan kita. Tetapi ia bukan sebagai pencegah COVID-19, bukan juga merawat COVID-19. Mujur dia kuat dan bernasib baik dan akhirnya dia sembuh. Tidaklah pula dikaitkan dengan nasi ganja. 

Samalah dengan Ivermectin (ubat parasit) atau Hydroxychloroquine (ubat malaria) atau Colchicine (ubat gout). Bawaan hujah sedikit berbeza jika dilakukan satu kajian yang menyeluruh membahagikan di antara dua golongan: satu yang makan nasi dagang, satu lagi tidak makan nasi dagang. Dapatkan jumlah individu munasabah dalam kajian dan hasil kajian didapati perbezaan yang jelas dan signifikan di antara keduanya, barulah kita boleh mendakwa bahawa nasi dagang itu boleh mencegah virus COVID-19 ataupun merawat COVID-19. Itupun kajian rentas secara kasar yang mungkin boleh diperbahaskan lagi oleh pakar-pakar statistik kajian.

- Advertisement -

Perbahasan berbeza jika si pengucap itu adalah orang yang mahir dan ahli di dalam perubatan berdasarkan kepada pengalaman, bacaan serta kajian-kajian terkini beliau. Hasil dari keahlian itu, beliau berpendapat bahawa sesuatu bahan itu mampu untuk merawat COVID-19. Kita boleh menerima, tetapi itu pun masih lagi dikira ada dalam tahap pembuktian yang paling rendah. Ianya berbentuk pendapat pakar. Maka di sini memerlukan pembuktian melalui kajian yang lebih bersistematik, secara saintifik mengikut metodologi tepat untuk membuktikan pendapat beliau. 

Pembuktian itu mungkin memerlukan kajian sama ada ke atas haiwan ataupun kajian secara selancar ataupun kajian yang lebih berhierarki tinggi iaitu kajian kawalan kes (Randomised Control Trial). Jika ia benar terbukti bahawa sesuatu bahan itu berkesan, bermakna pendapat ataupun teori beliau itu benar. Bolehlah digunakan secara umum oleh masyarakat keseluruhannya. Jika tidak terbukti berkesan, ianya hanya teori semata-mata, hanya pendapat peribadi ia masih belum lagi dikira sebagai satu hujah yang perlu diangkat dan dijadikan agenda utama dalam perawatan kes. 

Bagaimana pula jika sesuatu ubat itu disokong secara popular oleh orang kebanyakan dan ahli politik (2P)? Pun tetap sama, perubatan itu tetap berpaksi kepada Pembuktian Asas Saintifik (Evidence Based Medicine (EBM)). Jika berlaku juga desakan popular dan politik sehingga menepikan EBM, ianya sesuatu yang malang.

Di sinilah telitinya perubatan dalam menentusahkan sesuatu dakwaan dalam merawat. Bukannya secara testimoni atau pendapat peribadi, populariti, politik ataupun dilakukan secara semberono tanpa menilai dengan sebaik mungkin kajian demi kajian yang telah atau akan dilakukan secara saintifik berkaitan dengan sesuatu bahan yang didakwa itu.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 28/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/546572572048737/posts/4251397551566202/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -