Sidang Khas: Berbahaslah dengan matang

- Advertisement -

GAMIS sentiasa cakna dan mengambil maklum akan situasi semasa politik negara kita. Pada 26 Julai 2021 (Isnin), telah berlangsung sidang khas Dewan Rakyat bagi membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Ianya adalah persidangan untuk hari pertama selepas Ordinan Darurat diproklamasikan.

Persidangan yang berlangsung selama lima hari ini juga turut membincang pelbagai aspek penting bagi negara kita terutama ketika pandemik yang melanda Malaysia memberi impak kepada pelbagai lapisan masyarakat. 

Akan tetapi, setelah GAMIS mengikuti rapat perbahasan pada hari pertama, dapat disimpulkan bahawa kualiti perbahasan dari Ahli Parlimen amat mengecewakan. 

- Advertisement -

Mereka bukan sekadar tidak menghormati Institusi Dewan Rakyat untuk berbahas dengan matang tetapi juga rata-rata Ahli Parlimen terlalu bersifat ‘politiking’ dengan menyerang isu politik kepartian tanpa membincangkan dengan tuntas Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga waktu untuk perbahasan membazir dengan agenda politik peribadi dan kepartian yang melampau.

GAMIS juga kecewa apabila mata rakyat dihidangkan dengan kebiadaban sesetengah Ahli Parlimen yang bersikap kurang ajar dan kurang sensitif apabila YAB Perdana Menteri meminta Ahli Parlimen membacakan Al-Fatihah dan bertafakur sebentar buat rakyat yang terkesan dengan wabak COVID-19. 

Justeru, besar harapan GAMIS agar Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari, mulai hari ini sehingga 29 Julai dan 2 Ogos dapat dimanfaat dengan sebaiknya oleh setiap Ahli Parlimen sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Hentikan politiking melampau, berbahaslah dengan matang dan sejahtera demi kebajikan rakyat.

GAMIS juga ingin mengingatkan kepada Ahli Parlimen untuk turut membahaskan mengenai perihal kebajikan mahasiswa untuk ditambah baik dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini seperti mana terkandung dalam ‘5 Tuntutan GAMIS Kepada KPT’ iaitu :

1. Polisi dan arahan yang jelas berhubung SOP.
2. Isu yuran pengajian.
3. Rumah sewa siswa.
4. Bantuan laptop.
5. Penangguhan bayaran balik PTPTN.

(https://www.facebook.com/175982485876128/posts/2199051760235847/ )

Selain itu, GAMIS juga turut ingin meminta perhatian daripada YB Dato’ Sri Dr. Noraini (Menteri KPT) Dato’ Dr. Noraini Ahmad Kementerian Pengajian Tinggi untuk mempertimbangkan tuntutan GAMIS iaitu segerakan vaksin buat mahasiswa berkeperluan seperti mana yang dituntut oleh GAMIS dalam kenyataan kami yang bertajuk ‘Segerakan Vaksin Buat Mahasiswa Berkeperluan’.

(https://www.facebook.com/175982485876128/posts/2233508343456855/ )

“Memimpin Kebangkitan Mahasiswa”

MUHAMMAD ARIF HAKIMI MALUDIN
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 28/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/175982485876128/posts/2258836387590717/

- Advertisement -