Tolak ansur peniaga cari rezeki di tepi jalan

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Biarpun aktiviti penjualan durian di bahu jalan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun kerajaan negeri bertolak ansur.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri tidak mengenakan tindakan kerana memahami kesusahan rakyat dan peniaga yang terkesan akibat Covid-19.

“Rakyat kini dalam keadaan susah kerana itu kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mereka buat masa ini,” katanya di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Manakala pada perkembangan lain beliau mengingatkan golongan peniaga terutama peniaga durian mematuhi SOP bagi mengelak berlaku penularan wabak Covid-19.

Kata beliau peningkatan kes harian Covid-19 di negeri itu direkod kerana faktor merentas negeri untuk mengambil durian di luar Kelantan.

Katanya peningkatan kes harian Covid-19 di Kelantan meningkat dengan mendadak kerana faktor tersebut.

“Kerana itu kita minta kerjasama semua pihak patuhi SOP. Hasil maklumat yang diperolehi berlakunya peningkatan kerana rentas negeri.

“Kita berharap pihak berkuasa lebih ketat memberi kebenaran merentas negeri supaya orang ramai tidak mudah mengambil kesempatan,” katanya.

Baru-baru ini Kelantan merekod kes harian Covid-19 sehingga lebih 500 kes. Malah ada beberapa lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mohd Amar juga berkata, wujud kluster berniaga durian di Machang dan Jeli kerana peniaga rentas negeri bawa balik durian sehingga turut membabitkan remaja umur 15 tahun.

“Walaupun mereka tidak bergejala selepas merentas negeri, virus yang ada pada tubuh mereka telah mencetus kluster di kawasan masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -