Pasukan ibadat korban Bukit Panau diiktiraf MKN

- Advertisement -

TANAH MERAH: Pengendalian program ibadat korban di kawasan Parlimen Tanah Merah khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Panau mendapat
pengiktirafan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Adun Bukit Panau Dato’ Abdul Fattah Mahmood berkata, hasil kerjasama semua pihak terutama petugas ibadat korban membolehkan program berkenaan berjalan lancar.

“Alhamdulillah kita bersyukur sangat di atas apa yang berlaku hasil kerjasama semua pihak bagi melancarkan program ibadat korban baru-baru ini.

- Advertisement -

“Terima kasih kepada Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut memberi kerjasama padu kepada pasukan korban hingga ia berjalan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan daging korban kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya (SJR) Chekok.

Menurutnya juga pelaksanaan ibadat korban tahun ini berbeza berbanding sebelum ini kerana perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan penularan wabak.

Kata beliau kesepakatan begitu penting bagi membendung dan mengekang penularan Covid-19 daripada terus menular. – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -