Sarawak akan tunggu perkenan Agong untuk PRN

- Advertisement -

KUCHING: Sarawak akan menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama ada akan meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau tidak, sebaik sahaja Proklamasi Darurat ditamatkan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata meskipun darurat berkemungkinan besar tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi pelanjutan darurat, terdapat tiga perkara yang perlu dipertimbangkan.

- Advertisement -

“Pertama ialah situasi Covid-19, sama ada situasi Covid-19 kita bertambah baik berdasarkan pada statistik. Kedua ialah sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) dalam situasi berkenaan dan apa jenis SOP.

“Ketiga, apa yang penting bagi kita ialah kesihatan. Kita tidak mahu ia (PRN) menjadi punca (penularan Covid-19 yang bertambah teruk) seperti yang telah terjadi di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Orang Ulu (OUCCI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian setelah ditanya sama ada PRN akan diadakan sejurus selepas Proklamasi Darurat ditamatkan. – BERNAMA

- Advertisement -