PGA rampas 5,181 kg beras bernilai RM20,724

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TANAH MERAH:
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 2,590 kilogram beras pelbagai jenis bernilai RM10,360 yang ditemui dalam dua kenderaan di Kampung Lalang Pepuyu di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, ketika membuat rondaan sekitar jam 7 pagi pihaknya mendapati dua kenderaan yang diletak di hadapan sebuah rumah berada dalam keadaan mencurigakan.

- Advertisement -

Malah katanya, kediaman tersebut turut dipercayai menjadi lokasi penyimpanan beras.

“Anggota terlibat membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan itu dan mendapati ia membawa muatan guni-guni putih berisi pelbagai jenis beras disyaki diseludup dari negara jiran.

“Selepas menunggu selama 30 minit dan tiada individu yang datang menuntut, pihaknya membawa kedua-dua kenderaan berkenaan ke Markas Taktikal Batalion 9 PGA Lubok Setol di Pasir Mas untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada kenyataan hari ini.

Nor Azizan juga berkata, pada serbuan kedua di kawasan sama pada jam 11 pagi, sebanyak 2,591 kilogram beras pelbagai jenama bernilai RM10,364 turut ditemui di sebuah rumah tidak bernombor yang juga disyaki menjadi tempat penyimpanan beras seludup.

Menurutnya, serbuan dalam rumah tidak berpenghuni dan tidak dikunci itu turut menemui beras pulut sebanyak 500 kilogram dianggarkan bernilai RM3,500.

Katanya, kesemua beras tersebut dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Kelantan dan Terengganu kerana terdapat permintaan tinggi daripada pengguna.

“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes ialah sebanyak 5,181 kilogram beras bernilai RM20,724 manakala 500 kilogram beras pulut pula bernilai RM3,500.

“Kesemua rampasan diserah kepada pihak Kawal Selia Padi Kelantan untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi Dan Beras 1994,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -