Pembangkang guna sidang khas sekadar lepas geram

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal memanfaatkan sidang khas parlimen yang bermula semalam, sebaliknya hanya menjadikan medan untuk melepaskan geram.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, pembangkang cuba menggambarkan kononnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menangani pandemik Covid-19.

Katanya, pembangkang sekadar hanya hendak tunjuk perangai lama sehingga ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin membaca alFatihah pun mereka tidak peduli.

- Advertisement -

“Mereka cuba nak tunjuk kononnya Kerajaan PN gagal tetapi dalam masa yang sama mereka gagal buktikan.

“Apa yang mereka tunjukkan hanya sikap sebenar pembangkang dan rakyat boleh menilai tindak tanduk mereka,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan drama jerit menjerit berlaku di parlimen pada hari pertama sidang khas berlangsung semalam.

Ahmad juga berkata, Speaker Dewan Rakyat Dato’ Azhar Azizan Harun sangat bertolak ansur dan memberi ruang kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun tidak memanfaat sebaiknya.

“Dua jam Speaker terpaksa layan perangai mereka. Terjerit-jerit, terpekik-pekik. Masa yang diberi tidak dimanfaat untuk cadangan atau idea baik untuk rakyat,” tambahnya.

Lagi pun ujarnya, pembangkang dilihat agak dangkal kerana asyik mempersoalkan perkara yang telah dirancang dan telah dilaksanakan kerajaan.

Lebih menghairankan kata beliau, pembangkang yang mendesak Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen dibuka, namun apabila berlaku persidangan mereka gagal mengambil peluang.

“Pada awalnya kita menyangka ada perkara besar yang nak dikemukakan sebab mereka mendesak agar parlimen segera bersidang. Tetapi sebaliknya mereka asyik sebut benda yang sama.

“Langsung tak ada manfaat untuk membantu negara menangani masalah Covid sebaliknya mempersoalkan perkara yang telah dilaksanakan kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya juga Ahli Parlimen pembangkang hanya mencari salah kerajaan Pusat sehingga lupa kegagalan PH mengurus Selangor sehingga negeri itu mencatat bilangan kes Covid-19 paling banyak.

“Saya tidak dapat bayangkan andainya PH masih mengetuai kerajaan Pusat ketika ini. Urus Selangor pun gagal tetapi masih menuding jari kepada pihak lain.

“Tunjuk sana, tunjuk sini. Cuba meletakkan kegagalan sendiri kepada orang lain,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/72021

- Advertisement -