KUALA KRAU: PAS Kawasan Kuala Krau bersama Pertubuhan Cakna Rakyat telah menyempurnakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha melibatkan 10 lembu sumbangan Sahabat Care untuk DUN Jengka, kelmarin.
Yang Dipertua PAS Kuala Krau, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim bersama Pengerusi Cakna Rakyat, Shafie Md Esa mengetuai kerja sembelihan, melapah dan mengagihkan daging korban tersebut kepada para asnaf.
Semua sumbangan dari Sahabat Care pimpinan pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun ini telah disampaikan menerusi semua Pengerusi Kelab Rukun Tetangga (KRT) dalam DUN ini untuk diagihkan kepada penduduk.
Ustaz Shahril Azman yang juga ADUN Jengka berharap dengan agihan tersebut para penerima turut bergembira meraikan Hari Raya Aidil Adha serta meningkatkan penghayatan sunnah ibadah korban di sebalik keterbatasan kini.
“Semoga kita dapat bersama merasa agihan daging korban ini dalam komuniti kita yang terpaksa berhari raya yang tidak dibenarkan ziarah dan kunjung mengunjung,” ujar beliau.
Antara lokasi agihan daging korban tersebut adalah kepada asnaf di Taman Permatang, Rantau Perintis dan Nadi Kota yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari yang juga Penyelaras Parlimen Kuala Krau pula mengetuai pelaksanaan ibadah korban di Jengka 11 dan Masjid Omar Abdul Aziz, Kerdau, di sini.
Kerja-kerja sembelihan, melapah dan agihkan daging telah diselaraskan oleh Pengerusi Institut Tahfiz Al-Banna Bandar Jengka, Kamaruzaman Usop di Jengka 11 dan Saharudin Saleh di Masjid Omar Abdul Aziz.
Ustaz Kamal berharap ibadah tahunan dari sunnah Nabi Allah Ibrahim A.S itu diterima Allah dan mengharap ia terus akan dapat dijayakan lagi. – HARAKAHDAILY 23/7/2021