Kanal Istanbul: Legasi Khilafah Uthmaniyyah

- Advertisement -

PADA penghujung Julai 2021, Presiden Turki Recep Tayyip Edrogan secara rasminya mengumumkan pembinaan “Kanal Istanbul“ atau Terusan Istanbul ketika majlis pecah tanah pembinaan Jambatan Sazlidere yang terletak dalam laluan “Kanal Istanbul“ yang menghubungkan Laut Marmara dan Laut Hitam melalui Istanbul.

Pembinaan Kanal Istanbul sepanjang 45 km yang dianggarkan menelan belanja sekitar USD 10 – USD 15 billion dijangka siap menjelang 2027. Menurut para strategis dan pakar geopolitik dunia, projek ini akan mampu mengubah landskap ekonomi Turki dalam jangka masa panjang.

Impian untuk membina Kanal Istanbul bukanlah sesuatu yang baharu di Turki tetapi sudah lama diimpikan sejak dari zaman Khilafah Uthmaniyyah lagi. Pada tahun 2011 dalam satu rapat umum di Turki, Recep Tayyip Edrogan yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri Turki mengumumkan bahawa Turki akan membina Kanal Istanbul yang telah lama menjadi agenda penting Turki sejak dahulu lagi.

- Advertisement -

Bermula dengan Sultan Suleiman yang memerintah Turki dari tahun 1494 – 1566 di mana arkitek tersohor Turki ketika itu Mimar Sinan telah mula merangka pelan pembinaan Kanal Istanbul namun ditangguhkan pembinaannya. Begitu juga dengan Sultan seterusnya di zaman Khilafah Uthmaniyyah yang berusaha untuk meneruskan pembinaan Kanal Istanbul namun tidak dapat melaksanakannya.

Dengan pengumuman besar yang dilakukan oleh Recep Tayyip Edrogan untuk melaksanakan pembinaan Kanal Istanbul, ia adalah seolah-olah menghidupkan kembali cita-cita mahupun impian sejak dari zaman pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah untuk melihat Turki berkembang menjadi sebuah negara Islam yang kuat dan berpengaruh di dunia.

Walaubagaimanapun, pengumuman Recep Tayyip Edrogan berkenaan pembinaan Kanal Istanbul ini tidak mendapat sambutan dan dikecam terutamanya di kalangan seteru politiknya di Turki dan menganggap ia adalah satu percaturan politik yang populis terutamanya untuk memenangi sokongan rakyat berdepan pilihanraya umum akan datang mahupun ketika berdepan dengan kritikan tentang beberapa isu dalaman Turki.

Kemal Kilicdaroglu, Ketua Pembangkang Turki yang juga Pengerusi Republican People’s Party yang menjadi pengkritik kuat projek tersebut memberikan amaran kepada bank-bank tempatan di Turki agar tidak memberikan pinjaman kepada projek tersebut yang menurut beliau tidak memberikan faedah dan tidak menguntungkan Turki.

Kemal Kilicdaroglu turut memberikan amaran kepada sesiapa yang menyokong projek tersebut terutamanya di kalangan ahli politik, orang kenamaan dan ahli-ahli perniagaan bahawa beliau tidak akan menerima mereka jika sekiranya Recep Tayyip Edrogan kalah dalam pilihanraya dan beliau menerajui kerajaan Turki yang baharu.

Malah Kemal Kilicdaroglu turut memberikan amaran jika projek tersebut diteruskan dan dianugerahkan tender projek tersebut kepada syarikat asing, dan jika Recep Tayyip Edrogan kalah dalam pilihanraya dan beliau menang serta menerajui kerajaan Turki yang baharu, beliau tidak akan membayar kerja – kerja untuk projek tersebut.

Lebih mengejutkan dunia apabila tersebarnya satu surat terbuka yang ditandatangani oleh lebih 100 bekas Laksamana dan pegawai kanan Angkatan Tentera Laut Turki yang menentang pembinaan Kanal Istanbul. Kegusaran utama yang diutarakan dalam surat terbuka tersebut ialah berkemungkinan pembinaan Kanal Istanbul akan melanggar perjanjian Montreux Convention 1936 yang ditandatangani oleh 9 negara berkenaan kuasa mentadbir dan penggunaan Selat Bosporus serta Selat Dardanelles.

Akhirnya Kerajaan Turki menahan 10 bekas Laksama Angkatan Tentera Laut Turki yang menentang pembinaan Kanal Istanbul dan melihat cubaan bekas Laksamana dan pegawai kanan Angkatan Tentera Laut Turki tersebut sebagai hampir sama dalam cubaan rampasan kuasa yang digagalkan pada 15 Julai 2016 di mana ia turut dijayakan oleh sebilangan kecil pegawai kanan Angkatan Tentera Turki yang diketuai oleh bekas Kolonel Muharrem Kose.

Rusia yang diketahui umum agak akrab dengan Turki terutamanya berkaitan isu membabitkan Libya dan Syria dilihat agak krikital apabila Recep Tayyip Edrogan mengumumkan pembinaan terusan ini. Kerisauan Rusia dilihat lebih kepada akses yang akan diperolehi oleh Nato dan armada kapal perang milik Nato ke Laut Hitam di mana ketika ini agak sukar dicapai berikutan perjanjian Montreux Convention 1936.

Rusia yang dilihat tidak secara terbuka menentang keras usaha Turki untuk membina terusan ini akhirnya menyuarakan kegusaran mereka apabila Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov menemui Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu di Antalya pada penghujung Jun 2021 yang mana ia turut membincangkan berkenaan pembinaan Kanal Istanbul.

Sergei Lavrov diberikan jaminan oleh Mevlut Cavusoglu bahawa pembinaan Kanal Istanbul tidak akan membuka ruang kepada Nato dan armada tentera lautnya untuk sewenang-wenangnya melintasi Istanbul untuk ke Laut Hitam dan akan terus akur serta mematuhi Perjanjian Montreux Convention 1936.

Presiden Rusia Valdimir Putin juga turut menyuarakan kebimbangan sama kepada Recep Tayyip Edrogan dalam satu perbualan talifon pada April 2021 apabila mengetahui rancangan Turki untuk membina Kanal Istanbul di mana akhirnya diberikan jaminan kepada Vladimir Putin oleh Recep Tayyip Edrogan yang mana pembinaan tersebut tidak akan menjejaskan Rusia dan memberikan akses kepada Nato untuk ke Laut Hitam.

Secara ringkasnya, itulah tentangan mahupun cabaran yang dihadapi oleh Recep Tayyip Edrogan dan Turki dalam usaha untuk meneruskan pembinaan Kanal Istanbul yang mana bukan sahaja berhadapan dengan tentangan daripada dalam Turki namun turut berhadapan dengan tentangan daripada Rusia.

Dalam masa sama, tidak kelihatan langsung tentangan mahupun kritikan secara terbuka daripada Kesatuan Eropah, negara-negara Eropah mahupun daripada Amerika Syarikat namun percayalah bahawa Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah mahupun negara-negara Eropah sedang mengkaji secara mendalam impak yang bakal dihadapi oleh mereka sekiranya Turki meneruskan pembinaan Kanal Istanbul.

Sebenarnya Turki akan memperolehi banyak kelebihan jika sekiranya meneruskan pembinaan Kanal Istanbul. Ia mampu memberikan keuntungan mahupun kelebihan samada untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

Kelebihan Geopolitik dan Ketenteraan

Setelah kekalahan Donald Trump dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, Turki dilihat seolah-olah mencari arah baru dalam menghadapi kemelut kekuasaan geopolitik dunia di mana saat ini Rusia, Amerika Syarikat dan China dilihat sedang berlumba-lumba mencari sekutu dan pengaruh baharu di serata pelusuk dunia.

Dalam masa sama kelihatan Turki sedang cuba membina pengaruh dan kekuatannya sendiri di seluruh dunia terutamanya di kalangan negara-negara Dunia Islam mahupun di kalangan negara-negara membangun di mana hasilnya setakat ini memberikan petunjuk positif ke atas Turki.

Namun sebelum meneruskan lagi usaha tersebut, kelihatan dengan pembinaan Kanal Istanbul ini Turki cuba untuk menggunakan kelebihan yang ada padanya untuk menguatkan lagi pengaruhnya terutamanya di Eropah. Sehingga saat ini Turki seolah-olah dinafikan haknya sebagai sebuah negara Eropah dengan diketepikan dari menyertai Kesatuan Eropah.

Pembinaan Kanal Istanbul ini bukan sahaja akan menguatkan kedudukan Turki di Eropah, Turki juga akan mempunyai bargain power terhadap Nato, Amerika Syarikat, Rusia dan juga Kesatuan Eropah. Bagaimana dengan pembinaan Kanal Istanbul akan memberikan kelebihan kepada Turki ?

Selat Bosporus dan Dardanelles terikat kepada Perjanjian Montreux Convention 1936. Tujuan asalnya ialah untuk mengelakkan peperangan berlaku di kawasan tersebut dan menjadikan kawasan tersebut zon bebas perang. Ia ditandatangani oleh 9 buah negara iaitu Turki, Soviet Union, Britain, Perancis, Yugoslavia, Bulgaria, Greece, Romania dan Jepun.

Namun beberapa syarat dalam perjanjian tersebut dilihat tidak menguntungkan Turki samada dari segi ekonomi mahupun geopolitik. Antara syarat-syarat tersebut ialah kedua-dua selat tersebut bebas dilalui oleh kapal – kapal dagang dan Turki tidak dibenarkan mengutip hasil atau cukai walaupun diberikan kuasa untuk mentadbir serta menguruskan selat tersebut yang sememangnya adalah hak milik Turki.

Kapal-kapal perang dari negara sekitar Laut Hitam bebas melalui kedua-dua selat terbabit walaupun perlu memaklumkan kepada Turki terlebih dahulu manakala negara-negara bukan dari kawasan Laut Hitam perlu mematuhi Perjanjian Montreux Convention 1936.

Namun sebenarnya Rusia mempunyai kelebihan besar dalam perjanjian tersebut kerana kapal-kapal perang seteru Rusia seperti Amerika Syarikat dan negara -negara Eropah tidak mampu sampai ke Laut Hitam ataupun terus menuju ke Rusia kerana syarat-syarat yang tercatat dalam perjanjian Montreux Convention 1936.

Namun apabila Turki mengumumkan pembinaan Kanal Istanbul, Rusia menyuarakan bantahan kerana Kanal Istanbul tidak terikat dengan perjanjian Montreux Convention 1936 dimana ia dijangka akan mampu memberikan akses kepada seteru Rusia serta meletakkannya dalam keadaan bahaya.

Laluan sempit dan berbahaya di Selat Bosporus juga turut menjadikan pengunaan selat tersebut tidak mencapai had maksimum yang dikehendaki untuk memaksimumkan perdagangan yang menguntungkan Turki. Menurut data yang diperolehi daripada Jabatan Marin Turki, sejak 15 tahun lalu kapal dagang yang menggunakan selat tersebut telah jatuh sebanyak 43 peratus dan jumlah kapal tangki minyak yang menggunakan selat tersebut juga telah jatuh sebanyak 31 peratus.

Turki akan mempunyai kelebihan bargain power dengan pembinaan terusan ini terutamanya dengan Amerika Syarikat, Nato, Kesatuan Eropah dan Rusia khususnya apabila Turki berhadapan dengan masalah berkaitan pembelian sistem peluru berpandu S-400 daripada Rusia yang ditentang Amerika Syarikat, Nato dan Kesatuan Eropah.

Rusia sudah tentu tidak mahu kelebihan berpihak kepada Amerika Syarikat, Nato dan negara-negara Eropah setelah siapnya pembinaan Kanal Istanbul namun Nato, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah sudah tentu mahu memanfaatkannya di samping berusaha untuk menghalang perluasan pengaruh dan kekuasaan geopolitik Rusia di seluruh dunia terutamanya di Eropah.

Turki sudah tentu akan menggunakan kelebihan ini untuk menundukkan Amerika Syarikat, Nato, Kesatuan Eropah dan Rusia untuk mengikut kemahuan mereka di samping berkemungkinan menekan Kesatuan Eropah untuk menerima kemasukan Turki dalam kesatuan tersebut. Sudah tentu akan banyak lagi konflik dan masalah yang akan terjadi di masa akan datang di mana Turki akan menggunakan dan memanfaatkan kelebihan yang ada untuk kepentingannya.

Penemuan deposit minyak mentah dan gas yang banyak di Laut Mediterranean baru-baru ini sudah tentu dimanfaatkan sepenuhnya dengan pembinaan Kanal Istanbul. Laluan di kedua-dua selat yang ada sekarang sudah tentu akan menyukarkan eksport minyak dan gas Turki berikutan tidak mampu menampung atau menyukarkan laluan kapal-kapal tangki yang besar untuk mengangkut minyak dan gas Turki dalam jumlah yang besar.

Pembukaan Kanal Istanbul juga mampu mengukuhkan kekuatan dan dominasi Angkatan Tentera Laut Turki di Lautan Mediterranean, Laut Hitam dan Laut Marmara di samping mengetatkan lagi kawalan Turki ke atas perairan tersebut sebagaimana Turki berhadapan dengan Greece ketika krisis di Timur Mediterranean akibat aktiviti cargali yang dijalankan Turki di perairan tersebut.

Namun sebenarnya Kesatuan Eropah yang sedang menghadapi dilema besar akibat pembinaan Kanal Istanbul. Di satu sudut, pembinaan terusan tersebut mampu mengurangkan pengaruh geopolitik Rusia ke atas Laut Hitam dan negara-negara Balkan namun di satu sudut lain pula, penguasaan Turki ke atas Kanal Istanbul mampu mengukuhkan pengaruh geoplitik dan kekuasaan Turki di Eropah.

Ia dilihat tidak memberikan manfaat kepada Kesatuan Eropah dalam jangka masa panjang di mana Turki dilihat bertindak secara bersendirian untuk kepentingannya kerana tidak terikat dengan Kesatuan Eropah. Ternyata benar berkemungkinan Turki mempunyai banyak kelebihan dengan terbinanya Kanal Istanbul namun cabaran dan jalan yang berliku sudah pasti akan dilalui oleh Turki.

Apa sekalipun harapannya agar dengan terbinanya Kanal Istanbul kelak, Turki akan bangkit dan menjadi salah satu kuasa besar dunia serta menerajui Dunia Islam sebagaimana era Khilafah Uthmaniyyah dahulu. Semoga Turki terus makmur dan maju disamping mampu mengangkat kembali Islam dan umatnya agar lebih ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang di persada dunia.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 24/7/2021

- Advertisement -