Covid-19: Rakyat muak permainan politik propaganda

Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA KEDAH: Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, peningkatan jumlah penerima vaksin melepasi 400,000 dos sehari memperlihatkan kecekapan pihak kerajaan menguruskan proses pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

- Advertisement -

“Selain digit jangkitan Covid-19, bilangan yang telah menerima suntikan juga mencuri tumpuan ramai.

“Usaha ini adalah antara komitmen kerajaan untuk membendung penularan wabak itu daripada terus mengganas,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Usaha mengembalikan Pelan Pemulihan Negara ke jajaran fasa dua pada penghujung bulan Julai ini juga bergerak aktif, ujarnya.

Tambah Dr Ahmad, meskipun kerajaan hari ini menumpukan segala kudrat dan kesungguhan bagi menangani krisis ini, namun masih lagi ada pihak yang menyebarkan dakyah serta propaganda politik bertujuan untuk memberikan gambaran negatif terhadap kerajaan.

“Pada mereka, inilah masa terbaik untuk merobek-robek reputasi dan sebaik-baik waktu untuk membenamkan kerajaan yang ada.

“Tetapi dalam masa yang sama mereka juga bimbang sekiranya situasi menjadi semakin terkawal, maka peluang untuk merebut hati dan kepercayaan rakyat semakin menipis,” tambahnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkeyakinan rakyat sebenarnya muak dengan permainan politik sebegini.

“Sekarang bukannya masa untuk bersilat politik, tetapi masa untuk maju ke hadapan, bersatu hati dan berpadu tenaga untuk memerangi keganasan Covid-19.

“Covid-19 ini tidak mengenal sesiapa. Siapa saja yang cuai dan leka, maka ia berisiko menjangkiti dan dijangkiti,” bidasnya.

Oleh itu, kerajaan juga perlu terus lipatgandakan usaha proses vaksinasi sementara rakyat perlu menyahut usaha berkenaan.

“Jangan takut jarum untuk menerima suntikan. Daftar segera di aplikasi MySejahtera dan sabar menanti giliran untuk suntikan. Kejayaan rakyat adalah kejayaan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2021

- Advertisement -