Tabung Haji: PAS Johor sokong tubuh RCI

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: PAS Johor menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ), Rusman Kemin berkata TH merupakan sebuah institusi kewangan dan pengurusan jemaah haji yang telah berjaya mengangkat nama negara dipersada antarabangsa kerana keunggulan tadbir urusnya dikagumi oleh semua negara Islam.

- Advertisement -

Bagaimanapun kata beliau, dakwaan wujudnya ketidaktelusan tadbir urus TH mula bangkit sewaktu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negara dan sehingga kini masih belum terjawab.

Malahan perkara ini katanya, telah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap simpanan dan pelaburan mereka di dalam TH.

“Justeru itu, diharapkan dengan tertubuhnya RCI akan terjawablah segala dakwaan dan jika terbukti wujudnya penyelewengan maka kes ini hendaklah segera dibawa ke muka pengadilan.

“Kami juga mengharapkan agar selepas ini TH akan kembali kukuh seterusnya menjadi benteng yang membantu ekonomi umat Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Pada 14 Julai, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri mengumumkan penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) dari tahun 2014 hingga 2020.

Katanya, perkara itu dipersetujui jemaah menteri susulan isu berbangkit yang timbul hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -