Vaksinasi di Langkawi: MOSTI sambut baik hasrat Kedah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyambut baik hasrat Kerajaan Kedah untuk mempercepatkan vaksinasi kepada penduduk Langkawi sebagai usaha membuka semula pulau berkenaan kepada pelancong menjelang November ini.

Timbalan menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, MOSTI juga berhasrat usaha itu sebagai ‘pilot projek’ untuk sebuah pulau pelancongan yang menjadi tumpuan dalam dan luar negara.

“Tidak sukar untuk memastikan penduduk pulau itu lengkap menerima vaksin Covid-19 kerana jumlahnya pun tidaklah terlalu ramai, hanya 72,000 sahaja.

- Advertisement -

“Walau bagaimanapun kita tunggu pengumuman Menteri MOSTI berkenaan jumlah vaksin dan lain-lain berkaitan untuk pastikan objebtif itu tercapai,” jelas beliau dalam satu temubual ringkas ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah, semalam.

Dalam masa yang sama, beliau berpuas hati dengan perkembangan vaksinasi di Kedah yang dilihat lancar serta melebihi target sasaran.

“Kedah mencatat angka terbaik dan antara kelompok tertinggi vaksinasi yang sering kali bertukar ganti dengan Perlis.

“Sungguhpun begitu, Kedah perlu bersedia untuk menerima lebih banyak dos vaksin pada Julai dan Ogos ini,” tambah beliau.

Baginya, negeri itu kemungkinan tidak menghadapi masalah untuk memperbanyakkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) namun dari segi tenaga petugas dan sukarelawan perlu membuat persediaan sebaiknya.

Katanya lagi sewaktu lawatannya ke PPV di Pendang kelmarin, beliau mendapati pusat berkenaan mampu melaksanakan sehingga 10,000 suntikan sedangkan kapasiti awal hanya 800 dos sahaja.

“Ikutnya situasi seperti itu perlu buka PPV lain.Tetapi seperti  PPV di Stadium Suka Menanti yang mempunyai dewan yang besar dan sememangnya  mampu melakukan vaksinasi melebihi kapasiti yang ditetapkan.

“Cuma kena lihat juga dari segi kesediaan petugas dan sukarelawan sama ada mencukupi untuk menambah dos suntikan dalam satu hari atau masa,” ujarnya yang diiringi Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman.

Amzad turut melakukan lawatan ke PPV Stadium Suka Menanti, Alor Setar untuk meninjau proses vaksinasi di lokasi terbabit.

Lawatan itu diadakan selepas perjumpaan tertutup bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman.

Sehari sebelum itu kunjungan yang sama juga diadakan ke PPV Dewan Cenderawasih, Pendang.

Sementara, bercakap berkenaan perkembangan politik, baginya semua pihak perlu memberi fokus kepada usaha menangani pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat terkesan.

“Sehingga kini kerajaan berfungsi macam biasa cuma masalah yang ditimbulkan itu, seeloknya bagi ruang kepada sahabat mereka selesaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -