Kelantan tidak tolak Sinovac, penjelasan timbalan menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim membetulkan salah tanggapan orang ramai bahawa Kelantan menolak vaksin Covid-19 jenis Sinovac.

Katanya, melalui laporan media berjudul ‘Kelantan hentikan bekalan vaksin Sinovac’, ia bukan bererti negeri Cek Siti Wan Kembang itu menolak vaksin Sinovac, tetapi penghantaran terakhir 12 juta dos Sinovac adalah pada penghujung Julai.

- Advertisement -

“Saya dapati ramai yang menyalah tafsirkan apa yang disebut di situ, seolah Kelantan menolak penggunaan Sinovac. Ini tidak betul. Sebenarnya apa yang mungkin mahu disampaikan adalah…

“Saya nak maklumkan dari segi bekalan vaksin Sinovac. Penghantaran yang terakhir adalah pada Julai. Maknanya semua 12 juta dos vaksin Sinovac yang ditempah oleh kerajaan Malaysia, yang terkahir kita akan terima, hujung Julai, sebanyak 12 juta.

“Selepas dari hujung Julai, kita akan menerima Pfizer. Maknanya kita ada terima Pfizer, kita ada terima AstraZeneca, kita ada terima Cansino, Johnson and Johnson.

“Sebab dari segi portfolio pembelian vaksin oleh kerajaan Malaysia setakat ini, 70 peratus adalah daripada jenis Pfizer, 18.75 peratus jenis Sinovac, 12 juta dos semua sekali, dan sekitar hampir 20 peratus lagi jenis AstraZeneca.

“Yang kita beli terus kepada AstraZeneca, sebanyak 10 peratus, dan beberapa peratus lagi, pembelian AstraZeneca melalui fasiliti Covax dan baki adalah daripada Cansino dan Johnson and Johnson,” ujarnya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Laman Facebook Rasminya, semalam.

Justeru itu, beliau menepis dakwaan bahawa Kelantan menolak Sinovac disebabkan sebab-sebab tertentu yang tidak disebut.

Katanya, vaksin Sinovac bukan sahaja tidak akan diterima oleh Kelantan, bahkan seluruh negara tidak akan menerima vaksin itu lagi selepas penghantaran dos akhir pada hujung Julai.

“Jadi bukan bermaksud seperti mana yang saya tengok, banyak group viral kata bahawa Kelantan sudah tolak penggunaan vaksin Sinovac.

“Bukan tolak, sudah tiada selepas ini. Selepas ini semua Pfizer, yang ada barangkali untuk suntikan dos kedua untuk Sinovac. Kebanyakan daripada CITF (Badan Bertindak Imunisasi Covid-19) peringkat negeri-negeri, reserve simpanan Sinovac untuk suntikan dos kedua.

“Jadi, itu yang sebenarnya. Bermakna bukan Kelantan sahaja, seluruh negara selepas ini mulai daripada Ogos banyak menerima vaksin jenis Pfizer.

“Ini ada yang sampai buat spekulasi kata Sinovac tidak bagus dan sebagainya.

“Semua vaksin yang telah dipilih oleh kerajaan Malaysia adalah semua vaksin yang mempunyai kadar keberkesanan yang bagus, insya-Allah.

“Tidak perlu pilih-pilih, bandingkan kata AstraZeneca, Sinovac setakat ini masing-masing mempunyai kelebihan masing-masing dalam mencapai matlamat mengawal penularan dan juga mengurangkan gejala yang membahayakan daripada jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Semalam, pada 15 Julai, media melaporkan bahawa Kelantan menghentikan pengagihan vaksin Sinovac dengan menggantikannya dengan Pfizer di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu. – HARAKAHDAILY 16/7/2021

- Advertisement -