Negeri diminta buat persiapan terima lebih banyak vaksin

Foto daripada Facebook Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua kerajaan negeri diminta segera mengemukakan cadangan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) jika memerlukan pusat pemberian vaksin (PPV) tambahan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata kerajaan negeri perlu membuat persiapan sewajarnya bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi di setiap PPV kerana lebih banyak vaksin akan diterima dalam tempoh dua bulan ini.

“Misalnya di Kedah, empat PPV yang saya lawati (proses vaksinasi) berjalan dengan baik, tetapi di PPV Pendang ia berjalan pada kapasiti lebih daripada sepatutnya iaitu daripada 800 (suntikan) menjadi 1,200 suntikan.

- Advertisement -

“Jika perlu tambah PPV, majukan segera cadangan kepada CITF pusat, kita tak nak berlaku kesesakan sehingga timbul risiko kepada mereka yang datang ke PPV,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga sudah memaklumkan kepada semua petugas di PPV supaya mendapat suntikan vaksin, selain prosedur operasi standard (SOP) seperti saringan gejala Covid-19 dilaksanakan dengan lebih teliti.

“Bagi mereka yang mempunyai gejala Covid-19, boleh tangguh dahulu suntikan vaksin dan tidak perlu datang ke PPV kerana akan mendatangkan bahaya kepada orang lain,” kata Ahmad Amzad.

Pada Selasa lepas, PPV Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam, Selangor ditutup setelah 204 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan petugas PPV berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata pihaknya yakin kadar pemberian suntikan vaksin akan meningkat, antaranya susulan Pharmaniaga Bhd yang menyatakan komitmen untuk menyelesaikan pesanan 12 juta dos vaksin Sinovac pada hujung bulan ini.

“Kita juga menerima tambahan sumbangan vaksin Pfizer-BioNTech dari Amerika Syarikat sebanyak sejuta dos, dari Jepun sumbangan Astra Zeneca sebanyak sejuta dos dan sedang menunggu penerimaan sumbangan Sinovac sebanyak 500,000 dos dari China.

“Jadi kita akan menerima hampir 16 juta vaksin dalam bulan Julai ini sahaja,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -