Hutang: Felda dicadang buat perjanjian sama rata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) mencadangkan pengurusan Felda membuat perjanjian sama rata antara peneroka yang berhutang dan peneroka tidak berhutang.

- Advertisement -

Presidennya, Ustaz Roslan Md Esa berkata ia bagi memastikan kesamarataan ekoran penghapusan hutang peneroka RM8.3 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 7 Julai lepas.

“Ini sebagai alternatif kepada mereka yang tidak berhutang yang menguruskan ladang sendiri daripada awal penanaman hingga pokok tebang dan tanam semula dengan kos sendiri.

“Mereka tidak ambil duit sara hidup, semua mereka urus. Macam tidak adil jika peneroka yang berhutang tiba-tiba dihapuskan hutang sehingga 80 peratus tetapi peneroka yang tidak ada hutang, tiada insentif dan sebagainya.

“Kebimbangan pihak GENERASI ialah tahap kefahaman kepada peneroka dan generasinya tidak sampai, mungkin hasrat kerajaan baik, hasrat felda sangat baik tetapi perlu kepada penerangan dan penjelasan,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, Roslan berkata, pihaknya menyarankan supaya Felda mewujudkan ucapan atau dialog daripada Pengerusi Felda bersama peneroka menerusi pelbagai platform.

“Antaranya di siaran televisyen atau mengguna saluran Facebook live untuk bersoal jawab berkaitan isu penghapusan hutang peneroka Felda sebanyak 80 peratus ini.

“Mungkin di sana akan ada soal jawab, soalan-soalan yang dikemukakan yang boleh kita jawab untuk menenangkan hati peneroka yang terlibat dengan perjanjian ini.

“Buat program secara dalam talian maya yang boleh dilibatkan para peneroka, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang berjuang isu yang berkaitan dengan peneroka dan Felda ini, untuk mereka juga mengambil bahagian dan memberi pandangan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengadu bahawa pihaknya dihujani Whatsapp dan panggilan hal berkaitan dengan terma perjanjian.

Oleh itu, beliau berpendapat bahawa penerangan sedia ada masih belum jelas serta menimbulkan keraguan.

Katanya, itu adalah situasi biasa memandangkan pemohon hanya dapat membaca dokumen yang bertulis dan sekiranya timbul persoalan tiada siapa untuk dirujuk.

“Sudah tentulah jawapan ini (hanya) ada pada pihak pengurusan Felda (sahaja),” katanya.

Sementara itu, kata Roslan, pihaknya juga menyambut baik tempoh perlanjutan yang difahamkan untuk peneroka berbincang tentang perkara ini.

Beliau turut menasihati para peneroka supaya cakna bahawa perjanjian itu tidak mengikat mereka selagimana mereka tidak menandatangan sebarang perjanjian tersebut.

“Bererti Felda tidak paksa untuk kita tandatangan. Jadi nasihat saya jangan tandatangan selagi Tuan/Puan belum faham. Peneroka faham baru tandatangan.

“Kalau kita tandatangan bererti kita memilih untuk menerima tawaran yang saya sifatkan the best offer daripada kerajaan, daripada peneroka yang berhutang.

“Tetapi kalau kita tidak tandatangan bererti kita tidak mahu hutang kita dihapuskan, tiada isu pun. Mungkin isu di sini tempoh masa yang agak tergesa-gesa,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau lagi, GENERASI juga mengalu-alukan penambahbaikan terma-terma perjanjian yang ada, kawasan-kawasan yang ada kerana berlakunya ketidakjelasan di peringkat peneroka.

“Secara spirit of agreement itu kita lihat ianya sangat baik, dan ia memang the best offer kepada Felda dan penerokanya, dan inilah yang sebenarnya kita kena sambut, cuma tinggal teknikalnya kita boleh nego untuk win-win situation.

“Jika peneroka memerhati dan amati betul-betul terma dan perjanjian yang telah dinyatakan dalam agreement tersebut, tidak ada pun terma yang mengatakan secara jelas bahawa peneroka mesti menandatangani agreement tersebut. Maksudnya kita boleh pilih untuk tandatangan ataupun tidak.

“Manakala, bagi peneroka yang tanam sendiri serta menguruskan daripada A hingga Z, tidak ada hutang pun, bahkan pendapatan mereka pun sangat baik dengan menguruskan ladang sendiri, maka jangan tandatangan.

“Tandatangan ini adalah untuk penghapusan hutang sedangkan kita tidak ada hutang. Jadi kita kena faham agreement ini adalah perjanjian penghapusan hutang,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2021

- Advertisement -