Beri nama bayi yang mati keguguran

- Advertisement -

Oleh USTAZ AZHAR IDRUS

TELAH
sepakat para ulamak hendaklah diberi nama kepada anak yang baru dilahirkan.

Dan demikian juga disunatkan beri nama sekalipun anak itu mati setelah dilahirkan dan sebelum diberikan namanya.

Dan seperti disunatkan memberi nama yang elok kepada anak yang hidup, maka demikian juga diberikan nama yang elok kepada anak yang mati.

- Advertisement -

Dan begitu juga diberi nama akan bayi yang mati keguguran sama ada mati anak yang gugur itu setelah dilahirkan atau telah mati ia di dalam perut ibunya.

Berkata Syeikh Zainuddin Al-Malibari:

وأن يذبح سابع ولادته ويسمى فيه وإن مات قبله

Ertinya: “Dan sunat bahawa disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya dan dinamakannya pada hari itu walau pun mati anak itu sebelum diberi nama.” (Kitab Fathul Muin)

Berkata Imam Ibnu Rif’ah:

فإنه لو مات قبلها، استحبت بعده وإن كان موته قبل السابع، وكذلك يستحب تسمية السقط

Ertinya: “Maka sungguhnya kalau mati anak yang lahir itu sebelum diberikan nama maka disunatkan memberi nama selepas kematiannya walaupun mati anak tersebut sebelum dari hari ketujuhnya. Dan seperti demikian itu juga disunatkan beri nama anak yang mati keguguran.” (Kitab Kifayah At-Tanbih)

Berkata Imam Nawawi:

قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ مَذْهَبَ أَصْحَابِنَا اسْتِحْبَابُ تَسْمِيَةِ السَّقْطِ وَبِهِ قَالَ ابْنُ سِيرِينَ وَقَتَادَةُ وَالْأَوْزَاعِيُّ

Ertinya: “Sungguhnya telah kami sebut bahawasanya mazhab Ashab kami Syafi’eyah disunatkan memberi nama anak yang gugur. Dan dengannya berkata olih Imam Ibnu Sirrin dan Qatadah dan Al-Auza’ie.” (Kitab Al-Majmu’)

Dan dinamakan bayi yang mati keguguran itu ialah yang telah sampai usia ditiupkan roh padanya yaitu empat bulan dan ke atas.

Maka jika keluar janin yang belum sampai usia empat bulan dalam kandungan, maka tidak sunat diberikan nama.

Berkata Syeih Ibnu Hajar:

بَلْ تُسَنُّ تَسْمِيَةُ سَقْطٍ نُفِخَتْ فِيهِ الرُّوحُ

Ertinya: “Bahkan disunatkan memberi nama anak yang gugur yang telah ditiupkan padanya akan ruh.” (Kitab Tuhfah Al-Minhaj)

Hikmah dikaitkan dengan waktu tiup roh itu ialah tiap-tiap manusia yang telah ditiupkan rohnya, maka dia akan dibangkitkan di hari kiamat nanti.

Dan jika tidak diketahui akan jantina anak yang gugur itu, maka hendaklah diberikan nama yang bolih dipakai oleh lelaki dan perempuan.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

وَلَوْ مَاتَ قَبْلَ التَّسْمِيَةِ اُسْتُحِبَّ تَسْمِيَتُهُ، بَلْ يُسَنُّ تَسْمِيَةُ السَّقْطِ، فَإِنْ لَمْ يُعْلَمْ أَذَكَرٌ هُوَ أَمْ أُنْثَى سُمِّيَ بِاسْمٍ يَصْلُحُ لَهُمَا كَخَارِجَةَ وَطَلْحَةَ وَهِنْدَ

Ertinya: “Dan kalau mati anak yang lahir itu sebelum diberikan nama maka disunatkan juga memberi namanya bahkan disunatkan beri nama anak yang gugur. Maka jika tidak diketahui akan jantinanya nescaya dinamakannya dengan nama yang patut bagi keduanya seperti Kharijah dan Talhah dan Hindun.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Dan hikmah disunatkan memberi nama bagi anak yang mati itu ialah kerana dia akan dibangkitkan di Padang Masyhar nanti dengan dipanggil akan namanya.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 14/7/2021

Tulisan ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original).

- Advertisement -