Kes keganasan rumah tangga meningkat di Pulau Pinang

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Sebanyak 239 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan dari bulan Januari hingga Jun tahun ini di Pulau Pinang menyaksikan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lepas, dipercayai disebabkan oleh pelbagai faktor.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua laporan yang diterima daripada mangsa kes membabitkan golongan wanita atau isteri.

“Terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga pada tahun ini berbanding tempoh sama bagi enam bulan pertama tahun lepas iaitu 177 kes sahaja dan siasatan polis mendapati ia didorong oleh pelbagai faktor.

- Advertisement -

“Kebanyakan kes berpunca daripada desakan ekonomi termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau menasihati orang ramai yang menjadi mangsa termasuk golongan lelaki untuk tampil membuat laporan supaya dapat diselamatkan dan membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Mohd Shuhaily juga berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,623 kes jenayah dicatatkan berbanding nilai ambang 2,084 yang menyaksikan penurunan 461 kes atau 22.1 peratus.

“Bagaimanapun, kes melibatkan kecurian seperti di dalam kedai, bangunan dan sebagainya mencatatkan peningkatan 768 kes berbanding nilai ambang 518 iaitu naik 250 kes atau 48.2 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pemilik sebuah rumah di Georgetown yang tular di media sosial kerana mendakwa sepasukan ‘polis palsu’ mahu melakukan pemeriksaan di rumahnya telah memberikan kerjasama setelah yakin bahawa mereka adalah anggota pasukan keselamatan.

Katanya tindakan wanita itu yang pada mulanya enggan membuka pintu rumahnya berikutan sangsi dengan kehadiran sepasukan polis berpakaian preman adalah betul kerana dia berhak berbuat sedemikian.

“Kes itu sebenarnya membabitkan kes penipuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai namun mereka minta bantuan pasukan Balai Datuk Keramat untuk membuat pemeriksaan di rumah wanita itu dan polis tidak memerlukan waran kerana kes boleh tangkap dan mahu menjalankan pemeriksaan di situ.

“Kalau wanita itu terus tidak benarkan, dia boleh ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas namun dalam kejadian tersebut dia telah memberikan kerjasama setelah yakin bahawa semua yang datang ke rumahnya adalah anggota polis yang betul selepas membuat semakan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -