UMMAH Pahang sokong tindakan tegas kerajaan negeri

- Advertisement -

Oleh KHAULAH AL AZWAR

BENTONG:
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pahang menyokong tindakan tegas kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang memusnahkan tanaman durian secara haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Ahad lalu.

Pengerusinya, Ustaz Roslan Mad Esa dalam satu kenyataan hari ini, menyifatkan tindakan pekebun menengking dan bertindak secara agresif terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas, adalah biadap dan kurang ajar.

- Advertisement -

“Pekebun haram ini masuk ke kawasan Hutan Simpan Kekal milik kerajaan negeri tanpa kebenaran dan kemudian membuat provokasi dengan terpekik-pekik dan menengking-nengking, sebenarnya, siapa betul siapa salah ni?

“Mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, menghalang penjawat awam melaksanakan tugas adalah satu kesalahan. Penceroboh ini wajar dikenakan tindakan; satu masuk secara haram ke kawasan ini, dua menghalang penjawat awam buat kerja,” katanya.

Ujar beliau lagi, UMMAH Pahang ingin menasihatkan pihak penceroboh tanah haram tersebut agar akur dan patuh terhadap tindakan pihak berkuasa meminta mereka bekerjasama mengosongkan tanah tersebut.

“Ini bukan permainan ‘teng-teng’, lukis garisan atas tanah, baling gundu pilih petak mana suka, buat rumah. Ini adalah sistem perundangan negara, segalanya ada peraturan dan garis hitam putih.

“Seluruh rakyat Malaysia wajib akur dan patuh pada undang-undang dan pihak yang menguatkuasa undang-undang; undang-undang bukan permainan dan pihak berkuasa bukan barang mainan,” tegas beliau.

UMMAH Pahang turut merakam ucapan syabas dan tahniah dan sentiasa berdiri di belakang Menteri Besar di atas ketegasan kerajaan negeri dalam menangi isu pencerobohan tanah haram itu.

Ahad lalu, tular beberapa rakaman video dan gambar yang memaparkan provokasi yang melampau oleh pengusaha kebun haram terhadap pasukan penguat kuasa yang sedang melaksanakan tindakan penguatkuasaan HSK di Batu Talam.

JPNP dalam satu kenyataan media memaklumkan 18 penceroboh terbabit telah ditahan dan didakwa kerana memasuki kawasan HSK tanpa kebenaran. – HARAKAHDAILY 6/7/2021

- Advertisement -