Pandemik: Mahasiswa bagai raga menanti pecah

- Advertisement -

SUDAH setahun lebih berlalu, fenomena pandemik COVID-19 telah memberikan cabaran yang luar biasa kepada mahasiswa. Isu kebajikan mahasiswa terjejas merupakan ‘red spot issue’ yang melanda di kalangan mahasiswa sepanjang pandemik ini berlaku.

Isu ini seperti tidak berkesudahan dan tiada solusi yang berkesan diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Pelbagai aduan masalah dan keluhan daripada mahasiswa sepanjang pelaksanaan kaedah pembelajaran atas talian (Online Learning) ini dijalankan.

- Advertisement -

Antara masalah yang timbul ialah ketiadaan peranti seperti komputer riba, masalah capaian internet dan keperluan untuk melanggan kuota data internet yang tinggi dalam sehari telah menyukarkan para pelajar melakukan aktiviti pembelajaran.

Terdapat mahasiswa yang terpaksa keluar dari rumah lebih 2 kali dalam sehari untuk mencari capaian internet bagi menghadiri Online Learning (OL). Lebih menyedihkan lagi, terdapat mahasiswa yang tidak dapat menghadiri OL kerana tidak mencukupi wang melanggan lebih kuota data internet, bahkan ada juga yang terpaksa berkongsi peranti dengan adik-beradik yang lain yang turut menjalankan pembelajaran atas talian dari rumah. 

Lebih merisaukan lagi apabila masalah-masalah yang timbul sepanjang pelaksanaan OL ini telah menjejaskan kesihatan mental para pelajar. Terdapat mahasiswa telah mengalami tekanan mental dalam pembelajaran norma baharu ini yang mengakibatkan segelintir di kalangan mereka mengambil keputusan untuk menangguhkan semester pengajian. Kita tidak dapat menafikan bahawa kaedah OL perlu diadaptasikan oleh para pelajar asbab situasi pandemik yang melanda kini.

Namun ianya perlu dilaksanakan dengan sistematik dan efektif agar mahasiswa tidak tertekan dengan pembelajaran yang luar daripada kebiasaan ini. Selain itu, mahasiswa yang tinggal di rumah sewa juga turut tidak terlepas daripada radar kebajikan mahasiswa terjejas. Terdapat mahasiswa terpaksa mengikat perut bagi membayar duit sewa rumah dan juga langganan internet.

Isu ini seharusnya menjadi salah satu tumpuan utama KPT dalam menyelesaikan isu kebajikan mahasiswa. Justeru itu, isu kebajikan mahasiswa perlu diselesaikan dengan efektif dan komprehensif oleh pihak KPT bukan sekadar hanya melepaskan batuk di tangga.

KPT perlu turun melihat dan mendengar aduan serta cadangan daripada wakil setiap pimpinan mahasiswa di kampus. Nasib setiap pelajar pelajar tidak sama. Ada yang berada di tahap kayangan, ada yang berada di tahap sungguh menyedihkan hati.

Oleh itu, semua pihak perlu membuka mata turun membantu meringankan bebanan yang dihadapi para pelajar ini kerana mereka adalah pewaris yang bakal mewarisi kepimpinan negara ini.

MUHAMMAD HAFIZAN HECHANOVA
Pengerusi SISWAPAS – HARAKAHDAILY 6/7/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!