Sidang Parlimen: Fokus kebajikan rakyat, pulih daripada Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik sidang Dewan Rakyat yang bakal diadakan pada hujung Julai ini dan Dewan Negara pada awal Ogos.

“PAS berharap sesi penerangan dan perbahasan yang diadakan nanti benar-benar menatijahkan sesuatu yang menguntungkan rakyat dan negara,” kata Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara mesti bersidang secara matang dengan meletakkan keutamaan memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

“Wakil-wakil daripada PAS hendaklah bersedia dengan menunjukkan akhlak yang baik serta perbahasan yang berkualiti,” ujarnya selaku Ahli Dewan Negara.

Beliau juga menyeru agar semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara mematuhi SOP di sepanjang mesyuarat berlangsung.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media semalam memaklumkan Kerajaan telah bersetuju untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di­-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos depan bagi Dewan Rakyat dan tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos bagi Dewan Negara.

Mesyuarat itu bertujuan untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Menurut kenyatan itu, berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua­dua Majlis Parlimen (shall be laid before both Houses of Parliament).

Mesyuarat itu akan diadakan mengikut SOP yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. – HARAKAHDAILY 6/7/2021

- Advertisement -