PAS Raub beri penghargaan pelajar cemerlang STPM

- Advertisement -

RAUB: PAS Kawasan Raub telah memberikan sumbangan khas kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Nur Maisarah Abdul Malik yang tinggal di Kampung Sungai Susop, Panchor, Dong, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Pimpinan PAS Raub diketuai Yang Dipertua, Dr Mohamed Nilam Abdul Manap telah menziarahi anak ketiga dari lima beradik itu bersama Ketua Pemuda, Ustaz Zhafran Mohd Taib dan Ketua Muslimat, Habidah Saleh.

Kejayaan cemerlang Maisarah itu ternyata dikagumi pihak PAS Raub di mana sudahlah dalam keadaan pandemik dan belajar secara atas talian (PdPR), kawasan kediamannya pula di kampung pedalaman yang kurang capaian internet.

Menurut Dr Nilam, pemberian pihaknya sekadar tanda penghargaan kepada pelajar yang merekodkan kecemerlangan bukan sahaja buat dirinya dan daerah ini, tetapi juga peringkat negeri Pahang dan Kebangsaan.

Dalam pertemuan ringkas tersebut beliau juga memberikan kata-kata nasihat agar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong itu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta membalas jasa keluarganya kelak.

“Kejayaan Nur Maisarah telah mengharumkan nama sekolahnya, nama Raub, negeri Pahang dan seterusnya di peringkat Malaysia,” ulas beliau yang ditemani isteri, Dr Ruzana Hanan.

Nur Maisarah memperolehi semua A dalam pencapaiannya dari keputusan peperiksaan STPM yang diumumkan dengan memperolehi nilai gred matapelajaran 4.00

Pertemuan tersebut diakhiri dengan iringan doa yang dibacakan Ustaz Zhafran. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -