Kempen ‘online’ keahlian PAS terima sambutan hangat

- Advertisement -

BENTONG: PAS Kawasan Bentong merakam sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya berinteraksi secara atas talian bersama ahli dan masyarakat awam pada pelancaran kempen keahlian baharu PAS, malam kelmarin.

Bertemakan slogan ‘Jom Sertai PAS’, kempen dirasmikan Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah itu menetapkan sasaran pertambahan ahli baharu di setiap PAS Cawangan menjelang penghujung tahun ini.

- Advertisement -

“Kempen sebenar berlangsung selama setahun tetapi PAS Bentong bermula Julai sehingga hujung Disember ini, seboleh-bolehnya seramai 500 ahli baru berjaya diperoleh dan didaftarkan oleh setiap cawangan.

“Jumlah 500 itu nampak macam besar tetapi jika kita ‘mikro’ atau kecilkan ia ke seluruh 18 cawangan aktif yang kita ada, sasarannya adalah relevan.

“Sebagai galakkan, PAS Bentong berbesar hati menaja yuran keahlian percuma bagi mana-mana Cawangan yang berjaya mendaftar keahlian baru sepanjang tempoh kempen,” jelas Khairuddin. 

PAS Negeri Pahang melalui program Pelan Tindakan Strategik (PTS) PAS Pahang telah melancarkan kempen penambahan ahli PAS selama setahun bermula 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2022.

Melalui kempen itu, mana-mana 14 PAS Kawasan seluruh negeri Pahang yang berjaya mencapai sasaran sepuluh peratus keahlian ahli baharu layak menyertai kempen. 

Menurut beliau lagi, ketika berucap di hadapan lebih 130 orang ahli dan bakal ahli PAS Bentong menggunakan aplikasi ‘Zoom’ malam itu, dalam tempoh 5 tahun mutakhir ini ‘trend’ atau arah aliran masyarakat semakin cenderung kepada PAS.

Ini terbukti dengan pertambahan seramai 45,344 orang ahli baharu pada tahun 2019 tatkala lawan PAS sentiasa berusaha untuk melemahkan PAS.

“Daripada jumlah itu sebahagiannya adalah anak muda. Ini menunjukkan ‘market’ kita adalah luas dan ‘stok’ ahli PAS sentiasa ‘refresh’ dari masa ke masa.

“PAS bukan sekadar parti yang menyediakan medium untuk berpolitik. PAS adalah tempat masyarakat menimba ilmu, mendidik jiwa dan memperbaiki akhlak agar menjadi hamba Allah yang terbaik.

“Justeru, saya selaku YDP PAS Bentong mengajak sahabat semua mendaftar sebagai ahli PAS dan menyebarkan kempen ini kepada ahli keluarga terdekat, saudara mara dan jiran tetangga,” ujarnya.

Antara pimpinan PAS Bentong turut bersama pada majlis itu ialah Timbalan dan Naib Yang Dipertua, Ustaz Roslan Mad Esa dan Samsuddin Abdullah serta Setiausaha, Ismail Bakar dan saff kepimpinan lain.

Program dipengerusikan Penolong Setiausaha, Tuah Tonel itu telah berjaya menarik lebih 200 tontonan pengguna media sosial apabila turut dipancar secara langsung kepada umum menerusi laman rasmi Facebook PAS Kawasan Bentong. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!