Tidak timbul kontraktor potong gaji pekerja KBK

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh penyedia perkhidmatan, khususnya kontraktor perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) dan perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di institusi bawah KPM yang terjejas berikutan penutupan institusi tersebut kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KPM menjelaskan, bagi perkhidmatan KBK, pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak.

- Advertisement -

“Oleh itu, tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK,” ujarya dalam kenyataan media hari ini.

Bagi perkhidmatan BMB pula, KPM akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktorterlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP.

Menurut kenyataan itu, KPM juga memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha kantin serta penyewa premis/ruang (kedai buku/koperasi/kedai dobilvending machine) yang terjejas akibat penutupan sekolah bawah KPM.

“Dalam hal ini, KPM telah membuat ketetapan untuk memberi pengecualian sewaan kantin dan premis/ruang  tersebut bagi tempoh enam bulan mulai Julai 2021 sehingga Disember 2021,” katanya.

Selain itu, KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis/ruang (kedai buku/koperasi/kedai dobilvending machine) di sekolah bawah KPM secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.

“KPM yakin inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/7/2021

- Advertisement -