Polis Kelantan teruskan 44 sekatan jalan raya

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Sebanyak 27 kompaun dikeluarkan polis Kelantan menerusi Op Patuh yang diadakan di seluruh negeri itu sejak 2 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sebanyak 1,609 premis perniagaan di negeri itu diperiksa sejak Jumaat lalu.

Menurutnya kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

- Advertisement -

Kata beliau Op Patuh tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau menambah, sebanyak 223 kilang diperiksa dan 19 kompaun dikeluarkan atas beberapa kesalahan.

“Antaranya tidak menyediakan pencuci sanitasi tangan dan tidak menyediakan kod bar untuk MySejahtera.

“Kompaun selebihnya melibatkan kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, tidak mengisi kehadiran dalam Mysejahtera dan sebagainya,” katanya pada media selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Hamzah di sini hari ini.

Terdahulu beliau mewakili anggota barisan hadapan menerima sumbangan makanan daripada Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) untuk diagih kepada petugas di kawasan berkenaan.

Abdullah berkata, kompaun tersebut dikeluarkan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Puteh, Gua Musang dan Kuala Krai.

Kata beliau juga pihaknya hanya mengeluarkan kompaun manakala tindakan selebihnya berdasarkan keputusan muktamad daripada Jabatan Kesihatan Negeri.

Menurutnya, mereka yang didapati bersalah boleh mengemukakan permohonan rayuan di mana kebiasaannya mereka akan diberikan diskaun sehingga 50 peratus terutama yang dikategori kumpulan B40.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan pemilik kilang supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi mencegah daripada penularan wabak Covid-19.

“Operasi ini akan diteruskan sepanjang penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai peralihan Kelantan yang akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Abdullah berkata, 44 SJR masih diteruskan memandangkan pergerakan rentas negeri dan daerah masih tidak dibenarkan. – HARAKAHDAILY 4/7/2021

- Advertisement -