PKPD: Firma guaman perlu patuhi SOP lebih ketat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju membenarkan firma guaman beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur dari 3 hingga 16 Julai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kebenaran itu diberikan setelah mengambil kira keperluan perkhidmatan guaman untuk menyokong sektor perkhidmatan perlu yang lain serta melancarkan urusan-urusan berkaitan dengan mahkamah dan jabatan kerajaan.

- Advertisement -

Dalam hubungan yang sama, katanya dengan mengambil kira penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, firma guaman di kawasan PKPD perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

Jelasnya, hanya dua orang pekerja atau 20 peratus daripada jumlah bilangan pekerja, yang mana lebih tinggi, dibenarkan beroperasi dari pejabat, waktu operasi firma ditetapkan antara jam 9 pagi sehingga 1 petang dan firma guaman perlu menetapkan temu janji dengan anak guam atau pelanggan sekiranya perlu berurusan secara fizikal.

Katanya, firma guaman boleh memohon kebenaran beroperasi melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0., dengan mana kebenaran beroperasi daripada CIMS yang telah diperolehi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 boleh terus digunakan.

Menurut beliau lagi, SOP Perkhidmatan Guaman Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan itu boleh dirujuk dari platform komunikasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Adalah diingatkan penguatkuasaan dan pemantauan rapi bagi memastikan pematuhan SOP oleh firma guaman akan dilaksanakan secara berintegrasi oleh pihak berkuasa,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mengingatkan pihak-pihak berkenaan supaya mematuhi sepenuhnya arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berkaitan PKPD demi kebaikan semua. – HARAKAHDAILY 4/7/2021

- Advertisement -