Kerajaan bantu Selangor percepatkan pemberian vaksin

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang berusaha menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega khususnya di Selangor.

- Advertisement -

Timbalan Menteri MOSTI, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan bimbang dengan peningkatan penularan kes harian pandemik Covid-19, terutama di Selangor, Negeri Sembilan dan Lembah Kelang (Kuala Lumpur).

Menurutnya, kerajaan dan agensi berkenaan akan berusaha membantu Selangor dengan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.

“Kita (kerajaan) tetap bantu Selangor yang sepatutnya ini diusahakan oleh kerajaan Selangor. Kita buka lebih banyak PPV Mega supaya lebih banyak suntikan harian.

“Dalam masa sama, kita tambah lagi bekalan vaksin kepada mereka dan untuk bulan Julai ini, kita telah peruntukan sebanyak lebih 4 juta dos kepada Selangor. Jika dibanding dengan negeri-negeri lain ini 10 kali ganda lebih banyak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan gimik Pelancaran Agihan Sumbangan PKP 3.0 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Masjid Al-Hijrah Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Sehubungan itu, Dato’ Amzad berharap agar kerajaan Selangor akan dapat mencapai kadar suntikan hariannya yang lebih baik selepas ini.

“Semalam, kami dimaklumkan buat kali pertama Selangor mencatat suntikan harian agak tinggi iaitu 50,000 lebih dan sebelum itu dalam lingkungan 40,000 lebih sahaja.

“Walaupun ada dakwaan daripada Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, sebelum ini dia (Dr Siti Mariah) kata boleh buat suntikan 80,000 lebih sehari. Kita tetap bantu Selangor,” jelasnya.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas Imunisasi Covid-19 itu akan memberi tumpuan bagi meningkatkan kadar vaksinasi di Selangor dengan segera.

Sebelum ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendakwa kerajaan telah menyerahkan bekalan yang banyak kepada Selangor tetapi kadar pemberian vaksin di negeri sangat rendah.

“Kita (kerajaan) hantar banyak vaksin tetapi (mereka) tak guna habis. Ketika Terengganu mencatat kadar penggunaan vaksin yang tinggi 96 peratus (tapi) negeri Selangor, cuma 62 peratus.

“Kita hantar 800,000 dos vaksin tapi dia (Selangor) pakai 500,000 sahaja dan 300,000 lagi disimpan, belum pakai,” ujarnya.

Ketika ditanya polemik kononnya berlaku kekurangan vaksin di Selangor, kata Dato’ Amzad, kerajaan Persekutuan tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana negeri dalam agihan vaksin.

“Sebab, bila berlaku kes Covid-19 ini bukan masalah di Selangor sahaja. Selangor dan Lembah Kelang adalah pusat penularan Covid-19.

“Apabila berlaku di Selangor, ianya akan merebak ke negeri lain pula. Oleh kerana itu, kita perlu beri tumpuan di kawasan wabak. Sebab itu kita memperkenalkan fasa kawalan wabak.

“Kita menyegerakan program kerjasama antara CITF dengan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), untuk membolehkan dibuka lebih banyak program PPV Industri,” tegasnya.

Harakah dimaklumkan, kes harian Covid-19 hari ini masih tinggi mencecah angka 6,658 kes dan Selangor mendahului negeri-negeri lain dengan 3,047 kes positif, diikuti Negeri Sembilan 699 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 616 kes.

Seterusnya, Johor (414 kes), Sarawak (361 kes), Melaka (345 kes), Sabah (322 kes), Pahang (200 kes), Kedah (145 kes), Pulau Pinang (142 kes), Labuan (108 kes) dan Perak (101 kes).

Selepas itu, Dato’ Amzad turut meninjau Program Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (KOSPINT), Kampung Banggol Mempelam, Serada, Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat, Marang.

Hadir sama, Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Ustaz Ariffin Deraman, Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr Muhammad Zuraizi Jaafar, Pegawai CITF, Chua Yong Wei dan Pengetua Imtiaz KOSPINT, Md Imran Md Nor. – HARAKAHDAILY 3/7/2021

- Advertisement -