Ikrar tak biar warga penduduk hidup kelaparan

- Advertisement -

BENTONG: Laporan seorang anak muda terputus bekalan makanan dan terpaksa mengangkat bendera putih di rumahnya telah mendapat perhatian Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Ustaz Roslan Mad Esa.

- Advertisement -

Berdasarkan maklumat diperolehi, pemuda bujang ini berhijrah ke bandar Bentong dan mencari rezeki dengan bekerja di kedai makan tetapi tidak dapat keluar bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

“Dia tinggal bersama abangnya di Kampung Batu 1 ini tetapi abangnya sudah balik ke Kelantan, maka tinggallah dia seorang. Sayu dan pilu mendengar luahan beliau.

“Saya tanya dia memang awak kibarkan bendera putih ke dan dia mengaku. Lalu saya terus sebut pada dia jika ada apa-apa bantuan diperlukan jangan segan silu hubungi saya,” jelas Roslan.

Menurut beliau, pemuda berusia 22 tahun ini kelihatan tertekan dan amat terkesan dengan PKP ini kerana beliau bekerja secara bergilir dan majikan hanya membayar gaji mengikut hari bekerja sahaja.

“Saya lihat beliau pemuda yang baik, menjaga solat dan kami sempat menawar satu kerja lain kepada beliau sebagai alternatif mengisi hari-hari yang dia tak bekerja, tetapi dia tak berminat dengan kerja itu,” ujar Roslan.

Semua pihak menurutnya, tanpa mengira posisi dan anutan politik mesti tampil bersama-sama membantu mereka-mereka yang terjejas khususnya golongan yang terpaksa `tawakuf’ atau tangguh bekerja buat sementara akibat COVID-19.

“Ini bukan wayang atau drama pukul 7. Ini kisah benar, musibah COVID-19 datang dari Allah, juga benar. Mari kita bersatu hati dan tenaga membantu di samping mengangkat tangan berdoa agar Allah angkat musibah ini dan kita dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“PAS Bentong khususnya di DUN Ketari akan berusaha sedaya upaya mendapatkan maklumat golongan yang terjejas dan akan memastikan warga tidak hidup dalam kesedihan dalam perut kosong di saat perut orang lain terlajak berisi,” ujarnya selaku Penyelaras PAS DUN Ketari. – HARAKAHDAILY 3/7/2021

- Advertisement -