Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengumumkan pakej bantuan kepada rakyat iaitu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bernilai RM150 bilion, Isnin lalu. Ini sekali gus, menjadi pakej bantuan kelapan sejak berlakunya pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih setahun lalu, dengan nilai keseluruhan RM530 bilion.
Tiga fokus utama kerajaan melalui PEMULIH ini iaitu pertama, Agenda Prihatin Rakyat sebanyak RM57.6 bilion. Kedua, Menyokong Perniagaan bernilai RM41.4 bilion dan ketiganya, Meningkatkan Vaksinasi sebanyak RM1 bilion.
Dalam nilai RM150 bilion itu termasuk suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion bagi bantuan menyeluruh kepada rakyat Malaysia yang sedang menghadapi kesusahan akibat pandemik tersebut.
Gambaran umum tentang PEMULIH itu cukup melegakan rakyat apabila diumumkan inisiatif bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM4.9 bilion, Bantuan Khas Covid-19 (RM4.6 bilion), Bantuan Hilang Pendapatan (RM500 juta), Bantuan Bakul Makanan bagi setiap kawasan Parlimen seluruh negara RM300,000 dan RM1 bilion sebagai diskaun bil elektrik.
Selain itu, inisiatif bagi menyokong perniagaan yang terjejas kerana Covid dan PKP pula antaranya RM1 bilion bagi Geran Khas Prihatin 4.0, Program Subsidi Upah 4.0 (3.8 bilion), Pengecualian Levi HRD Corp (RM425 juta), Dana PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Usahawan Mikro (RM2 bilion) dan RM1.1 bilion bagi Pembiayaan Mikrokredit.
Manakala, inisiatif meningkatkan kemudahan vaksin di negara ini iaitu RM400 juta bagi Tambah Bekalan Vaksin, Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu (RM200 juta) dan Elaun Sukarelawan Barisan Hadapan sebanyak RM200 juta.
Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asal (Asli) di negara ini dan kerajaan mengambil sikap mengenepikan sentimen politik.
Apa yang lebih menarik lagi, menerusi moratorium secara automatik itu turut ditawarkan kepada pengusaha PKS dilakukan tanpa syarat, tanpa dokumentasi dan tiada semakan sama ada pemohon itu hilang pekerjaan atau dengan permohonannya. Ini akan dibuka pada 7 Julai ini. Alhamdulillah.
Menerusi pakej i-Citra pula, PM mengumumkan seramai 12.6 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pengeluarannya sehingga RM5,000 dengan dibayar RM1,000 sebulan bagi tempoh lima bulan.
Sebanyak RM30 bilion disediakan kepada rakyat bagi menampung keperluan mereka yang memerlukan bantuan dan permohonannya akan dibuka kepada ahli bermula 15 Julai ini.
Seramai 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang (belum kahwin) bakal menerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion itu. Ini sekali gus melegakan hati rakyat yang semakin dibebani kerana kehilangan sumber pendapatannya.
Namun, rakyat atau pihak ‘penghasut’ perlu diingatkan agar tidak cepat marah jika bantuan itu lambat diterima. Ini kerana, pembayarannya dibuat secara berperingkat dengan kadar dan kategorinya.
Ada kategori isi rumah miskin tegar bakal menerima bantuan berjumlah RM1,300 dan individu bujang kategori miskin tegar pula hanya menerima bantaun RM500 sahaja.
Isi rumah kategori B40 dikatakan menerima bantuan sebanyak RM800 dan bujang kategori B40 pula RM200. Manakala, isi rumah M40 pula menikmati bantuan sebanyak RM250 serta individu bujang M40 akan menerima bayaran sebanyak RM100.
Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) turut menyifatkan, tiada pihak terpinggir dan tertinggal dalam pakej PEMULIH yang bernilai RM150 bilion itu termasuk golongan rakyat B40, M40 dan T20.
Manakala, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga berpendapat PEMULIH merangkumi kesemua kumpulan rakyat di negara ini. Malah, pihak MTUC akur dengan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP i-Citra itu demi kelangsungan hidup rakyat.
Namun begitu, manusia tidak pernah puas, bersyukur dan berterima kasih. Lihat sahaja bagaimana ‘respons’ dan pendapat mantan PM. Sampai bila pun tokoh yang terlucut dari tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, boleh menerima kenyataan selagi Tan Sri Muhyiddin masih berkuasa. – HARAKAHDAILY 1/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!