PEMULIH: Kerajaan prihatin kesusahan rakyat

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan Pakej Perlindungan Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang berjumlah RM150 bilion merupakan pakej rangsangan yang sangat menyeluruh.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata ia meliputi setiap segmen rakyat iaitu miskin tegar, anak muda, B40, M40 juga pengusaha dan perniagaan kecil serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ini menunjukkan keperihatinan kerajaan memahami denyut nadi rakyat yang dalam kesusahan dan memerlukan sokongan yang berterusan bagi menangani dan mendepani masalah Covid,” katanya pada satu kenyataan.

- Advertisement -

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin melancarkan pakej PEMULIH yang berjumlah RM150 bilion memfokuskan kepada meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong golongan perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Menerusi PEMULIH, kerajaan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, dengan pengeluaran sehingga RM5,000, yang akan memberi manfaat kepada 12.6 juta ahli KWSP.

Pelaksanaan i-Citra akan menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian, yang mana permohonannya akan dibuka pada 15 Julai ini, dengan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini.

Selain itu, moratorium automatik selama enam bulan akan turut diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro, yang mana permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini.

Permohonan moratorium berkenaan tidak mengenakan syarat seperti pemohon mesti mengalami pengurangan pendapatan, semakan sama ada hilang pekerjaan dan mengemukakan dokumentasi untuk permohonan.

Melalui fokus meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, kerajaan antara lain akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion sehingga hujung tahun ini, merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.

Sehubungan itu, Mohd Zai mengharapkan agar rakyat segera mendapatkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan melalui agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan, agar sasaran bantuan itu dapat disalurkan dengan segera kepada rakyat.

Beliau turut menyeru badan bukan kerajaan (NGO) agar bekerjasama dan menjadi pemudahcara kepada rakyat bagi membantu mendapatkan batuan yang disediakan oleh kerajaan melalui agensi yang berkaitan. – HARAKAHDAILY 1/7/2021

- Advertisement -