PEMULIH: Pakej bantuan menyeluruh

Shahir Adnan
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Moratorium automatik kepada golongan B40, M40 termasuk T20 adalah keputusan tepat, kata Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Sehubungan itu, DPIM menyokong penuh inisiatif kerajaan Perikatan Nasional dengan pengumuman bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada rakyat.

- Advertisement -

“Pakej bantuan ini dilihat menyeluruh kerana melihatkan keseluruhan lapisan rakyat yang sememangnya terjejas dengan Covid-19,” katanya.

Namun begitu, kata Shahir, penambahbaikan segera diharapkan dapat dilaksanakan oleh kerajaan agar pihak bank tidak mengambil kesempatan di atas pengumuman moratorium automatik itu.

“Dilaporkan terdapat bank yang bersetuju dengan moratorium enam bulan, tetapi memanjangkan tempoh bayaran pinjaman kepada 12 hingga 24 bulan dengan kadar faedah pinjaman.

“Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyelar tindakan mengambil kesempatan di kala kesempitan yang dialami rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi IKATAN Kelantan berkata, pengeluaran tambahan daripada simpanan rakyat sendiri melalui KWSP (i-Citra) adalah bersesuaian, agar sewa dapat dibayar dan makanan masih dapat disediakan di atas meja, walaupun tiada pendapatan dalam Fasa 1 yang makin mencabar.

Ini kerana, katanya, kemungkinan Fasa 1 akan lebih lama daripada 45 hari PKP penuh 1.0 tahun lepas.

“Dewan Pemuda IKATAN Malaysia yakin Kerajaan Perikatan Nasional berusaha meringankan beban rakyat dengan mengumumkan bantuan segera ini.

“Penambahbaikan mungkin untuk diberikan pilihan untuk membuat pengeluaran sekali gus RM5,000 agar ianya boleh dijadikan modal perniagaan kecil-kecilan,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, DPIM turut menyeru rakyat agar bersama-sama kerajaan dalam membendung wabak Covid-19.

“Dengan bantuan ekonomi ini, kini semua pihak boleh menumpukan seluruh tenaga untuk kita melandaikan kes harian Covid-19 agar kita semua dapat keluar daripada pandemik ini dengan cepat,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2021

- Advertisement -